Kebangkitan hebat rakyat Sarawak menjelang Pilihan raya Negeri ke 10 (PRN10) esok hari (16 April) bakal diterjemahkan ke peti undi bagi memastikan berlakunya perubahan drastik pada lanskap politik di negeri terbesar Malaysia itu.
Secara umumnya, rakyat Sarawak telah lama menyimpan perasaan membuak-buak untuk membuat perubahan cuma mereka dihalang oleh rasa takut dalam diri. Namun kedatangan genderang gemuruh tsunami politik yang dibawa dari Semenanjung diikuti berlakunya kejatuhan pemimpin luar negara yang lama memerintah, memberikan tambahan semangat berani kepada rakyat negeri itu.
Mereka telah lama menderita. Hidup rakyat pertengahan dalam kesusahan. Apatah lagi mereka yang marhaen; kais pagi dan petang terus sahaja habis tiada berbaki lagi.
Menziarahi kampung-kampung dhaif yang hanya berjarak 10km sahaja dari Bandaraya Miri memang menggamit rasa kasihan pada mereka lantaran dibiarkan begitu sahaja oleh pemimpin kaya raya ke sana sini dengan helikopter diapit ratu muda bergaya. (Gambar: Janggut [kiri] menunjukkan masalah bekalan air di mana satu meter terpaksa dikongsi dengan 12 keluarga lain)
Kampung-kampung yang gelap gelita, nampak dari jauh seperti didirikan atas air yang sebenarnya berpunca dari air bertakung disebabkan tiada sistem perparitan sempurna.
Ke mana air hendak mengalir pergi jika tiada laluannya menyebabkan warnanya bertukar menjadi hitam pekat. Penduduk bimbang dengan wabak denggi berpunca dari serangan ganas nyamuk aedes.
Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas di Kampung Batu Satu Jalan Lutong - Kuala Baram, Kampung Api Api, Kampung Pasir, Kampung Muhibbah dan sebagainya lagi.
Siapa dapat bayangkan mereka hidup dalam keadaan tiada bekalan elektrik di masa pemimpin kerajaan menyeru setiap rumah mesti mempunyai komputer.
Bagi mengatasi masalah itu, penduduk terpaksa membeli generator sendiri dengan harga melebihi RM2 ribu dengan kos minyak disel melebihi RM5 satu malam jika digunakan dari 7 hingga 11 malam.
Suasana di sebelah malam di sini tidak ubah seperti mereka semua tinggal berhampiran dengan kawasan industri besar sementelahan bunyi generator dari semua rumah bersipongang ke udara secara serentak.
Sadisnya. Untuk rekod, mereka sudah meneroka, mendirikan rumah sendiri dan mendiami kawasan itu lebih dua puluh tahun. Sedih hati mereka bila diberitahu terpaksa keluar dari kawasan itu menjelang 2015.
Pak Janggut atau nama sebenar Haling Anak Bagak, 41, sekeluarga yang lebih 20 tahun tinggal di Kampung Pasir berkata, "kami tidak mahu pindah-pindah lagi, ini tanah kami."
Tegasnya, berikan kami geran sah, semua masalah akan selesai.
Rupanya bukan isu bekalan tenaga elektrik sahaja membelenggui mereka selama ini. Masalah air bersih juga bersarang kecewa di hati mereka.
Sebagai gambaran ringkas, satu meter terpaksa dikongsi dengan sebelas kediaman lain. Satu bulan secara puratanya setiap rumah terpaksa membayar lebih RM40.
Bayangkan berapa jumlah bayaran untuk satu meter setiap bulan. Keadaan lebih rumit bila ada yang 'sangkut' tidak dapat jelas satu hingga tiga bulan. Akibatnya bekalan air ke semua kediaman terpaksa dipotong. Untuk mendapatkan semula meter, setiap rumah dikenakan denda sebanyak RM100 pula.
Persoalannya sampai bila mereka perlu hidup dalam keadaan begini dalam sebuah negeri kaya?
Jika kita tinjau harga barang pula, ada keperluan yang empat kali ganda dari Semenanjung. Jika tidak pun, ia mesti lebih mahal sekali ganda.
Semua harga ini terpaksa dibayar oleh rakyat Sarawak. Orang kaya memang tidak terasa apa-apa, namun bagaimana dengan orang biasa dan marhaen yang terpaksa membayar sama seperti harga orang berwang juga. Tiada kekecualian apa-apa.
Rakyat kebanyakannya tahu tentang kekuatan ekonomi negeri bersumberkan minyak, gas dan sumber hutan serta sebagainya. (Gambar: Semua hadirin mengangkat tangan secara serentak bersetuju untuk membuat perubahan dalam pilihan raya esok hari.) Hasil dari maklumat yang meniti dari bibir ke bibir, mereka juga tahu dan adakalanya lebih tahu, ke mana wang negeri itu berlegar dan hilang pergi entah ke mana.
Rakyat sudah sedar. Mereka mendapat maklumat sah dari banyak sumber. Generasi muda banyak memberikan informasi. Hasilnya kini, bila semua sudah sedar dan meninggi, timbul semangat berani yang tidak dapat dibendung lagi.
Rasanya tiada siapa lagi yang boleh menyekat mereka dari membuat perubahan secara revolusi menerusi peti undi bermula esok pagi.
Kesempatan penulis membuat tinjauan selama seminggu di Miri, baru-baru ini mengesahkan dengan pandangan mata kepala sendiri bagaimana hebatnya sesuatu kebangkitan bila ia berlaku.
Suasana dan jumlah kehadiran serta pungutan dana menerusi jualan dan derma dalam himpunan Pakatan Rakyat tidak dapat dicabar oleh BN.
Medan utama di pekarangan Klinik Dr Teo Yu Keng yang merupakan calon Keadilan untuk Dun Senadin di tengah Bandaraya Miri membimbangkan musuh. Himpunan reformasi rakyat untuk buat perubahan dianggarkan sekitar 30 ribu dengan jumlah derma satu malam sahaja RM21 ribu.
Satu malam dalam satu himpunan sama, semua hadirin mengangkat tangan secara serentak (gambar) bersetuju untuk membuat perubahan dalam pilihan raya esok hari.
Berbanding dengan program jamuan makan malam anjuran calon BN dari SUPP yang merupakan Timbalan Ketua Menteri dan penyandang dua jawatan Exco Negeri Sarawak, sungguh malang tidak sampai 50 hingga 80 hadirin yang sanggup datang, itu pun dengan kenderaan percuma.
BN di banyak tempat membuat ceramah di hadapan kedai makan dengan mengambil kesempatan masa dan peluang ketika beberapa orang itu makan. Mereka datang ke restoren itu bukan bertujuan untuk mendengar Koh Tsu Koon yang kerananya BN hilang negeri di Pulau Pinang; apa yang mahu diajarnya pada pengundi Miri untuk pertahankan Sarawak?
Satu ketika, Tsu Koon membelakangkan jalan utama kerana tiada orang di hadapannya sebaliknya hadirin leka makan-makan di meja dalam restoren tanpa peduli pun apa celotehnya.
Dalam satu ceramah bersama Dr Teo dan Presiden Kelab Penyokong Menteri Besar Selangor (MBSC), Khairul Anuar Othman, penulis sempat bandingkan keadaan dan suasana Sarawak 40 tahun di bawah BN dengan Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah di bawah PR.
"Bukti ada di depan mata kita, lihatlah beza bentuk pentadbiran antara bobroknya BN dan berkesannya PR dalam masa tiga tahun buktikan kemampuan mereka.
"Jika rakyat Sarawak boleh bersabar lebih 40 tahun dengan keadaan begini, kenapa tidak boleh beri peluang selama empat tahun untuk PR tunjukkan bentuk pemerintahan Kerajaan Sarawak Baharu?
"PR tidak bercakap kosong kerana mereka telah dapat buktikan kemampuan mereka di empat negeri Semenanjung: di Selangor, air percuma 20 meter padu pertama, ada skim warga emas, anak baharu lahir dan anak masuk universiti di samping jumlah pelaburan tetap antara tertinggi di Malaysia," hadirin memberikan perhatian mereka.
Peringatan untuk rakyat Sarawak, inilah masa dan peluang terbaik untuk mereka bersama mencipta sejarah baharu Negeri Sarawak. Jika tidak, mereka terpaksa menunggu lagi sehingga empat akan datang atau tidak akan berubah selama-lamanya.
Namun dalam keadaan sekarang, kebangkitan rakyat Sarawak mengatasi segala-galanya; mereka akan buktikan esok jatuhnya regim BN dan bentuk Kerajaan Baharu Pakatan Rakyat atau paling tidak menafikan 2/3 penguasaan BN selama ini.
Ingatlah, dunia dan Sarawak tidak akan KIAMAT semata-mata jatuhnya BN di negeri itu esok, cuma yang bezanya adalah teraju pentadbiran negeri yang bakal dipimpin oleh Pakatan Rakyat. ----------------------------------------------------------- Ismail Hashim adalah wartawan Harakahdaily yang membuat liputan politik Sarawak. Beliau berada di Miri selama lima hari bermula hari penamaan calon PRN Sarawak. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA