Selamat Datang

Jumaat, 8 April 2011

Jangan buat andaian awal kematian Sarbani


Harakahdaily

SHAH ALAM, 8 April: Pemuda PAS Selangor meminta semua pihak agar jangan membuat andaian awal terhadap pegawai kanan Kastam, Allahyarham Ahmad Sarbani Bin Mohamed kononnya beliau mati bunuh diri dan seumpamanya.

Ini kerana, Allahyarham seorang yang kuat berpegang kepada agamanya, Islam, dan diyakini tidak akan membuat tindakan sedemikian, kata Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu, Zaidy menyelar tindakan melampau beberapa media cetak dan elektronik yang menggambarkan kematian Allahyarham sebagai mati bunuh diri dan seumpamanya.

"Tindakan yang tidak bertamadun ini, akan memberikan prejudis dan persepsi buruk kepada Allahyarham dan keluarganya," kata Zaidy.

Mengikut syariat Islam, kata Zaidy, bunuh diri adalah suatu perkara yang dikategorikan dalam dosa-dosa besar dan syirik serta sesetengah ulama ada mengatakan ia tidak boleh disempurnakan jenazahnya seperti sediakala mengikut amalan Islam.

"Allahyarham adalah seorang yang beragama, seorang yang sentiasa berada dan berjemaah di surau di kawasan kediamannya, juga difahamkan akan menunaikan haji di Makkah pada tahun ini serta sebelum beberapa jam sebelum kematiannya beliau menunaikan solat subuh berjamaah bersama kawannya dalam perjalanan ke Pejabat SPRM, Kuala Lumpur.

"Mana mungkin seorang Melayu Islam yang taat beragama, rasa dan mampu melakukan perkara sekeji dan yang dikutuk oleh agamanya (bunuh diri)," kata beliau.

Pemuda PAS Selangor juga tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur yang mengatakan buat masa ini kematiannya adalah ‘Silent Death’ kematian mengejut.

Siasatan dan postmorterm sewajarnya di lakukan secara terperinci sebelum apa-apa keyataan di keluarkan, katanya.

Dimaklumkan juga, kata Zaidy, beberapa rakan sejawatnya memaklumkan telah dikasari oleh pihak SPRM semasa siasatan dan sesetengah daripada mereka telah melaporkan kepada pihak PDRM.

(Gambar: Zaidy [tengah] turut menyertai majlis bacaan Yassin dan tahlil untuk Allahyarham di rumahnya)

"Oleh itu, kita mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyeiasat kes ini agar lebih telus dan akan memberi keadilan untuk semua," katanya.

PAS juga, katannya, bersedia menyalurkan bantuan dan kebajikan serta berbentuk material dan guaman bagi meringankan keluarga dan menuntut pembelaan yang adil dalam menyelesaikan kes ini dan menjaga maruah Allahyarham dan keluarganya dari tohmahan.

"Kami dari Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor memohon semua masyarakat Selangor dan Malaysia untuk mendoakan kepada Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat dan diberikan syurga dan redha Allah, juga kesejahteraan dan ketenteraman kepada keluarganya," tambah beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails