Selamat Datang

Khamis, 16 September 2010

SKMM perlu jaga ketenteraman rakyat, bukan BN


KUALA LUMPUR, 15 Sept: PAS tidak mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hanya dilihat untuk menjaga ketenteraman BN, bukan ketenteraman rakyat di negara ini.

Begitupun, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pihaknya bersetuju kenyataan daripada (SKMM) untuk bertindak terhadap mana-mana pihak yang bertindak untuk menggugat keharmonian dan kententeraman kaum di negara ini sama ada berunsur fitnah dan penghinaan terhadap mana-mana agama atau bangsa melalui ruangan langit terbuka.

“PAS menyeru semua pihak supaya apa-apa laporan biarlah beretika dan bermoral sama ada melalui media cetak atau elektronik. Unsur fitnah adalah suatu perkara yang perlu dijauhi dalam setiap laporan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Kerajaan juga, katanya perlu bertindak dengan segera tanpa memilih, siapa yang melakukan kesalahan.

Menurutnya, apabila laporan pemberitaan fitnah yang dilemparkan kepada Pakatan Rakyat, maka pihak berkuasa di negara ini hanya membuat tidak kisah.

Katanya, contoh yang terbaru ialah bagaimana akhbar Utusan Malaysia dan media elektronik yang melaporkan berita fitnah mengenai Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang memberi tazkirah dan memberi bantuan kepada ahli PAS di Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Hakikat yang berlaku, ujarnya ialah Teo hanya memberi taklimat skim pendidikan Kerajaan Negeri Selangor dan memberi RM1,000 kepada surau tersebut.

Begitu juga, tambahnya dengan pemberitaan yang berunsur fitnah dengan mengatakan bahawa “Lim Guan Eng mengganti Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah”.

“Kesemuanya ini bertujuan untuk menimbulkan kemarahan orang Islam terhadap orang bukan Islam dan pimpinan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya PAS mengharapkan pihak SKMM menyiasat dengan segera mengenai gambar Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu, sedangkan itu adalah gambar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin.

Tambahnya, mereka yang membuat kerja fitnah perlu disiasat dan dihadapkan ke pengadilan.

“Semua ini adalah percubaan untuk SKMM untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka adalah badan professional yang menjaga ketenteraman rakyat, bukan ketenteraman BN.

“Inilah rakyat mahu lihat SKMM bertindak, jangan biarkan rakyat ketawakan SKMM pula,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails