Selamat Datang

Jumaat, 3 September 2010

Media alternatif: Mengapa pendedahan berfakta tiada tindakan



Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Keengganan kerajaan mengambil sebarang tindakan terhadap pendedahan-pendedahan yang berasaskan fakta di dalam media alternatif dilihat oleh rakyat sebagai perbuatan bersubahat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam yang berkata, ada berita di dalam media alternatif yang benar, separuh benar dan liar.

"Persoalannya, mengapa kerajaan enggan mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap berita yang benar atau yang sebahagiannya benar?

"Misalnya pendedahan mengenai apa yang dilakukan oleh (Tan Sri) Tajuddin Ramli ketika beliau menerajui MAS yang lengkap dengan dokumen mahkamah dan pelbagai dokumen lain.

"Sudah tiga Perdana Menteri termasuk Najib, semuanya enggan mengambil tindakan terhadap Tajuddin walaupun rakyat menganggap sikap kerajaan itu perbuatan bersubahat," kata beliau.

Bagi Mahfuz, Najib bukan sahaja kelihatan tidak tahu apa yang dimaksudkan sebagai benar, separuh benar dan liar malah tanpa segan silu pula menuntut rakyat supaya bijak menilai berita yang berpandukan fakta atau sebaliknya.

"Rakyat dituntut bersikap bijak tetapi kerajaan sendiri tidak jujur apabila enggan mengambil tindakan terhadap pendedahan yang benar," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang bersetuju tulisan-tulisan yang liar diambil tindakan.

Beliau memberi contoh dakwaan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir sebelum ini yang menyatakan hanya 40 peratus tulisan Editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang mengandungi fakta.

"Persoalannya, mengapa tidak ada sebarang tindakan dari kerajaan ekoran pendedahan di dalam 40 peratus tulisan Raja Petra yang disebut oleh Mukhriz mempunyai fakta itu? Adakah ia berkaitan dengan misteri pembunuhan Altantuya Shaariibuu?" Mahfuz mempersoalkan.

Beliau juga mengingatkan Najib supaya jangan menjawab sesuka hati untuk mencari publisiti murahan dengan mendakwa berita yang disiarkan oleh media arus perdana lebih tepat kerana kononnya menjadikan fakta sebagai panduan.

"Bukankah media perdana yang melaporkan dakwaan tanpa sebarang bukti Zam (Tan Sri Zainuddin Maidin) kononnya PAS meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

"Sedangkan fakta sejarah membuktikan Kelantan adalah negeri yang paling aman dalam tempoh rusuhan perkauman itu hasil inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan PAS yang memerintah negeri tersebut waktu itu.

"Fakta apa yang menjadi panduan media arus perdana ketika menyiarkan berita Zam itu?" tanya Mahfuz.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails