KUALA LUMPUR, 2 Nov: Usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (gambar)
yang meminta kerajaan memotong satu bulan gaji Perdana Menteri sebanyak
RM22,826.65 ditolak pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Usul
tersebut ditolak setelah dibahaskan oleh beberapa orang ahli Parlimen
termasuk dari Pakatan Rakyat dan BN dan mendapat tentangan hebat dari BN
termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz.
Yang
Dipetua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia ketika
memutuskan perkara itu berkata, disebabkan lebih suara tidak bersetuju,
usul itu tidak disetujukan.
Tian Chua dalam usulnya mencadangkan
perbelanjaan diluluskan dengan syarat dikurangkan sebanyak RM22,826.65
daripada perkara Maksud Bekalan\Pembangunan 6 - Jabatan Perdana Menteri
Kod 1000 Emolumen iaitu dengan memotong gaji satu bulan Perdana Menteri
dalam Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM22,826.65.
Usul tersebut
dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) dalam Perbahasan
Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2012 bagi Jabatan
Perdana Menteri.
Menurut Tian yang juga Naib Presiden PKR, usul
tersebut dikemukakan selaras dengan kedudukannya sebagai seorang wakil
rakyat yang diamanahkan oleh para pengundi dan pembayar cukai untuk
menyuarakan perkara-perkara berkepentingan awam.
Katanya,
tindakan beliau itu bukan bertujuan untuk memalukan atau menimbulkan
kesulitan kepada mana-mana pihak, namun pemotongan gaji sebulan itu cuma
simbolik untuk memperingatkan pentadbir supaya menjalankan tugas dengan
amanah dan telus.
Dalam usulnya yang dikemukakan kepada Yang
Dipertua Dewan Rakyat, Tian antara lain berkata, dalam sejarah, hutang
Kerajaan Persekutuan sehingga 30 Jun 2011 telah mencatat RM437.2 bilion
atau 51 peratus dari nisbah hutang tempatan kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) negara.
"Manakala kadar inflasi telah mencatat pada
paras yang tinggi iaitu 3.4 peratus sejak bulan Julai hingga
September," katanya ketika membacakan usul itu pada persidangan Dewan
Rakyat hari ini.
Faktor berlaku inflasi, menurut beliau,
disebabkan oleh dasar rasionalisasi subsidi bagi gula, petrol RON 97 dan
diesel serta tarif elektrik.
Katanya, walaupun Kerajaan Malaysia
membelanjakan jumlah yang besar sehingga RM94 juta bagi memperolehi
khidmat perunding antarabangsa, tetapi khidmat yang diperolehi tidak
menyumbang dalam pemantapan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
"Dalam
hubungan ini juga terdedah dengan hubungan FBC Media dengan APCO yang
mempunyai hubungan kerjasama yang rapat serta mempunyai hubungan luar
biasa dengan Israel.
"The Independent turut mendedahkan APCO
membayar AS$80,000 kepada FBC pada tahun 2008 untuk meningkatkan
kesedaran polisi Malaysia," katanya berhubung kegagalan kerajaan dalam
urus tadbir.
Menurutnya, baru-baru ini, isi kandungan Laporan
Ketua Audit Negara 2010 menjadi isu hangat oleh kalangan rakyat, apabila
kandungan laporan audit telah membuktikan ketirisan dan kepincangan
kelemahan dalam pentadbiran Najib yang melibatkan ahli keluarga menteri
yang turut membuktikan kegagalan tranformasi Najib.
"Kegagalan
mendakwa 3 pegawai SPRM yang bertanggungjawab dalam kes kematian Teoh
Beng Hock bagi menegak keadilan bagi keluarga Teoh. Ini termasuk pihak
SPRM gagal bertanggungjawab ke atas kes Ahmad Sarbani yang dijumpai mati
di bangunan SPRM," katanya.
Dari sudut imej antarabangsa,
katanya, Perdana Menteri gagal menangani isu-isu perkauman dan agama
dengan membiarkan kumpulan-kumpulan pelampau menyerang dan mengancam
keharmonian masyarakat.
"Parti pemerintah ditafsir memberi
sokongan sunyi dan ini mengujudkan kekhuatiran masyarakat antarabngsa,"
katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Katanya, perhimpunan aman
Bersih, pentadbiran Najib telah menunjukkan sikapnya yang memperlekehkan
demokrasi dengan menutup bandaraya dan tindakan keganasan oleh pihak
polis, sehingga mendapat kritikan oleh pelbagai pihak termasuk
badan-badan hak asasi manusia seluruh dunia.
Menyentuh tentang
pemborosan pula, beliau berkata, kos lawatan rasmi yang dibelanjakan
oleh Perdana Menteri dan isteri semakin meningkat sejak tahun 2008
hingga kini.
Dalam tahun ini, tegasnya, Perdana Menteri sendiri
beberapa kali menggunakan wang rakyat untuk tujuan keluarga sendiri
termasuk lawatan ke Kazakhstan dan Perth, Australia.
"Lawatan ke
Kazakhstan telah membelanjakan RM1 juta yang bertujuan berjumpa dengan
besannya. Sebelum ini, Menteri Luar Negara pun gagal menjawab bilangan
rombongan ke Kazakhstan dan siapakah mereka," ujarnya.
Manakala
lawatan ke Perth pada 31 Ogos hingga 3 September pula, jelasnya,
merupakan lawatan peribadi tetapi Perdana Menteri menggunakan pesawat
Airbus A319 yang dimiliki oleh kerajaan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA