BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua
selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta
keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.
Rasulullah SAW menyebut: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu.” (Riwayat al-Bazzar: Albani)
Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya: “Demi Fajar dan hari-hari yang 10.” (Al-Fajr, 1)
Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama
hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn
Qayyim)
Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya: “Tiada
hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya
memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini.” (Riwayat Al-Bukhari)
Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk
sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar
pahalanya, seperti:
1. Berzikir.
Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’,
‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber
daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam
Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya: “Supaya mereka
menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka
serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang
tertentu.” (Al-Hajj, 28)
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.
2. Berpuasa.
Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi
orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari
terbaik untuk berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya:
“Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada
Hari Arafah.” (Riwayat Muslim)
Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.
Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.
4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.
Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup
ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
5. Bertakbir.
Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan
takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung
waktu Asar hari ketiga tasyrik.
6. Melakukan sembelihan korban.
Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa
yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda
ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)
Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah
amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali
berkorban (dengan menyembelih binatang).”
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang
mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti
ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar
Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang
berkemampuan.
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk
melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku.
Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya: “Barang siapa
yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah,
maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah
sampai korban dilaksanakan.” (Muslim, 3/39)
Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah
RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli
binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.
Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa-
apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu
sembelihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain.
Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau
membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas
niat korban.
Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.
Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia
adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik,
Syafie, Ahmad dan lain-lain.
Firman Allah SWT: “Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat
mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat
mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu
mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)
Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.
Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah
perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu
pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya
satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.
Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya: “Dan makanlah ia, dan
berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir,” (Al-Haj, 28) dan ayat
ke-36 surah Al-Haj: “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang
memintanya dan yang tidak memintanya.”
Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal).
Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.
Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.
Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah
organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan
menyembelih korban atas nama syarikat.
Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau
untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang
bukan manusia.
Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari
sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud
dengan sanad sohih: Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga
pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari
sembelihan (iaitu haji raya pertama).” (Riwayat At-Tirmidzi)
Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah
tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji
Akbar itu adalah Hari Arafah.
Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn
Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada
hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.
Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan.
Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang
jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari
korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah
semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).
Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut
ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh
dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA