KUALA LUMPUR, 15 Nov: Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan adakah keluarga Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil dipilih mengendalikan Pusat Fidlot Kebangsaan
(NFC) kerana mereka adalah 'orang sendiri'.
Naib Presiden PAS,
Datuk Mahfuz Omar juga membidas Muhyiddin yang membisu terhadap
peranannya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu
dalam memberikan projek tersebut kepada keluarga Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.
"Dalam tegurannya kepada
(Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk) Bung Moktar (Radin), Muhyiddin
menyifatkan tuntutan timbalan pengerusi BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan
Barisan Nasional) itu supaya Shahrizat meletak jawatan sebagai sesuatu
yang tidak perlu di kalangan 'orang sendiri'.
"Persoalannya,
adakah keluarga Ketua Wanita Umno itu dipilih mengendalikan NFC kerana
mereka juga adalah 'orang sendiri'?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu
mempersoalkan.
Mahfuz juga mempersoalkan sikap Muhyiddin yang hanya bersuara apabila Shahrizat dituntut supaya meletak jawatan.
"Saya
tidak mahu mempersoalkan keghairahan Muhyiddin membela rakannya dalam
kabinet dan kepimpinan Umno serta menolak tuntutan Bung Moktar supaya
Shahrizat meletak jawatan.
"Memang Shahrizat patut meletak
jawatan jika beliau mementingkan maruah tetapi yang lebih penting ialah
apakah peranan Muhyiddin, Shahrizat sendiri dan bekas Perdana Menteri
(Tun Abdullah Ahmad Badawi) sehingga keluarga Shahrizat dipilih
mengendalikan NFC?
"Rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas
tanpa sebarang keraguan mengenai peranan mereka. Bagaimana syarikat
tidak ada pengalaman boleh diluluskan?" katanya sambil menekankan bahawa
projek kontroversi yang diuruskan oleh anggota keluarga Shahrizat itu
diperolehi mereka ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri.
Muhyiddin
hari ini menegaskan Shahrizat tidak terlibat secara langsung dalam NFC
dan tidak perlu meletakkan jawatan sebagai anggota kabinet dan parti.
Dalam kenyataannya, Abdullah pula meminta Shahrizat supaya jangan melayan tuntutan supaya beliau meletakkan jawatan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA