KUALA LUMPUR, 25 Nov: Timbalan
Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menghargai sumbangan anak muda dan
golongan wanita dalam membina negara dengan mengiktiraf mereka sebagai
peneraju demokrasi tulen.
Pengiktirafan ini disampaikan beliau dalam ucapan perasmian Kongres
Nasional Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Johor Bahru,
pagi ini, lapor KeadilanDaily.
“Generasi muda mempunyai tanggungjawab besar melakar negara demokratik.
“Maka, Angkatan Muda Keadilan dan Wanita harus menggembleng usaha dan kekuatan untuk memastikan agenda reformasi berjaya.
“Perjuangan cita-cita murni rakyat untuk perubahan harus diterajui Keadilan,” kata Azmin.
Beliau membandingkan peranan anak muda dan wanita dalam Keadilan yang
berjuang secara sukarela dengan usaha terdesak Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak yang terpaksa meraih sokongan anak muda dengan
pelancaran Kelab Media Sosial 1Malaysia beberapa minggu lalu.
“Usaha ini memperlihatkan kedangkalan Perdana Menteri dan penasihat
medianya menanggapi lanskap media sosial dan mengapa anak muda tuntas
menggunakan wacana ini untuk menyuarakan pendapat mereka.
“Warga media sosial tidak mahu diperalat untuk politik fitnah dan maki hamun,” kata Azmin.
Azmin juga berasa gembira dengan pengiktirafan Majlis Pimpinan Negeri
(MPN) yang memberikan lebih banyak ruang kepada anak muda untuk
menyumbang kepada parti.
“Saya menerima senarai calon (pilihan raya) yang dikemukakan MPN, Wanita dan AMK.
“Saya gembira anak-anak muda diberikan kepercayaan untuk ditampilkan sebagai calon.
“Saya akan mengangkat perkara ini kepada Presiden dan Biro Politik
supaya anak muda dan wanita diberikan peranan penting dalam Pilihan Raya
Umum ke-13,” kata Azmin. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA