Selamat Datang

Khamis, 10 November 2011

Negeri Pakatan tidak kurangkan kakitangan awam

| Print |
Abdul Aziz Mustafa   
KUALA LUMPUR, 10 Nov: Tiada pengurangan kakitangan perkhidmatan awam di negeri-negeri yang ditadbir Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) membuktikan ia tidak pernah menjadi dasar yang dipersetujui.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kakitangan perkhidmatan awam tidak perlu risau mengenai perkara itu kerana tidak ada sebarang persetujuan mengenai pengurangan kakitangan perkhidmatan awam dalam PR.
"Jangan sampai tak tidur lena pula kerana pandangan seseorang kerana ia bukan satu keputusan," katanya.
Sebagai persefahaman politik yang mengamalkan nilai-nilai demokrasi, kata Mahfuz, PR tidak pernah menghalang sebarang pandangan dikemukakan.
"Tetapi, saya tekankan sekali lagi, sekadar pandangan bukanlah satu keputusan jauh lagi persetujuan bersama.

"Sebab itulah tidak berlaku dan tidak ada sebarang cadangan atau perancangan untuk mengurangkan kakitangan perkhidmatan awam di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah yang ditadbir kerajaan PR," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Mahfuz berharap semua pihak memahami bahawa bukan di dalam PR sahaja berlaku perbezaan pandangan.
"Di dalam Umno pun ada orang Umno yang memberikan pandangan berbeza.
"Umpamanya, bila Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah kata Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) melesukan gerakan mahasiswa dan tidak menjana kepemimpinan, ia bukanlah keputusan dan keinsafan Umno. Ia hanya pandangan Saifuddin.
"Umno masih tetap sama dan memandang AUKU sebagai talian hayat kerana Umno beriman dengan keyakinan bahawa AUKU diperlukan untuk mengawal mahasiswa daripada menentang kerajaan," katanya.
Mahfuz juga mengecam percubaan golongan rasis yang memperalatkan sentimen bangsa dan agama yang hendak menjadikan isu itu sebagai isu perkauman.
"Jangan percaya golongan rasis yang pembohong ini. Semua perkara mereka hendak jadikan isu perkauman.
"Harga ikan mahal di pasar pun mereka jadikan isu perkauman. Sedangkan, harga mahal mungkin berpunca dari soal bekalan, cuaca hinggalah kepada kegagalan kerajaan mengawal harga barangan," katanya.
Mahfuz berharap kakitangan perkhidmatan awam yang rajin dan berdedikasi terus memberikan tumpuan kepada tugas mereka dan jangan membuang masa dengan kebimbangan terhadap perkara yang bukan-bukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails