KUALA LUMPUR, 28 Nov:
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) sekali lagi menegaskan
keprihatinan terhadap penindasan berterusan dan kemungkinan pendakwaan
ke atas Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, oleh pihak berkuasa.
“Kami mendesak pihak yang berkepentingan supaya memberhentikan dan
menarik balik segala penyiasatan dan prosiding tatatertib yang bertujuan
untuk mengugut para pensyarah dan mahasiswa daripada menyuarakan
pandangan mereka mengenai isu-isu semasa yang mendesak,” kata
pengerusinya, Prof Wan Abdul Manan Wan Muda.
Menurutnya, Prof Aziz adalah seorang sarjana yang disanjung tinggi
oleh rakan akademik dan masyarakat awam kerana kepakaran beliau dalam
bidang perlembagaan Malaysia yang menyentuh undang-undang dan
masyarakat.
Katanya, walaupun Aziz Bari telah menerbitkan beberapa buku mengenai
perlembagaan Malaysia, namun beliau terus dianiaya oleh pelbagai pihak
termasuk pasukan polis, ahli politik dan juga universiti beliau sendiri
akibat menyuarakan pandangan dan tafsiran berdasarkan kepakaran bidang
beliau.
Beliau berkata, para advokat perdebatan umum dan tindakan tanpa
kekerasan (non-violence) kelihatan cuba dihapus oleh kuasa pemerintah
dan aparat mereka.
Ujarnya, Prof Aziz kini menjadi simbol penentangan terhadap sejarah
panjang penindasan akademik dan pembrangusan keras di Malaysia.
Amat mendukacitakan, katanya masalah kebebasan intelektual dan
kebebasan bersuara di Malaysia mempunyai rekod yang buruk dan terus
merosot.
Menurutnya, pada 2011, pihak World Press Freedom Index
meletakkan Malaysia pada tahap ke 143 dari senarai sebanyak 196 buah
negara, manakala Malaysia berada pada tangga ke 124 semasa pimpinan
sekarang mengambil alih kuasa pada tahun 2008.
Tambahan lagi, katanya jaminan perlembagaan tentang kebebasam
bersuara, kebebasan akhbar dan kebebasan berhimpun disekat menerusi
pelbagai peruntukan dan secara amalan sangatlah terhad.
“Sebarang pendakwaan terhadap Prof Aziz Bari atas sebab beliau
mengamalkan kebebasan bersuara beliau bertentangan dengan kewajipan
Malaysia untuk mengiktiraf kebebasan berfikir, suara hati dan beragama;
kebebasan bersuara, dan kebebasan berhimpun dan berpersatuan sebagaimana
diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia,” ujarnya dalam satu
kenyataan.
Justeru itu, katanya sebarang usaha untuk mengugut dan menakutkan
para mahasiswa dan profesor atas sebab mereka menggunakan kebebasan
bersuara dan berhimpun mereka sekaligus mencabul undang-undang Malaysia
dan antarabangsa.
Menurutnya lagi, menghukum mereka yang menyuarakan komentar dan
pandangan yang mengkritik status quo adalah pengkhianatan kepada
kebebasan akademik yang merupakan sebahagian dari kebebasan bersuara dan
memberi pendapat.
Juster, tegasnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia perlu menarik
balik serta menghentikan sebarang siasatan dan pendakwaan tatatertib
terhadap Aziz Bari.
“Kami berpendapat institusi pendidikan tinggi perlu menjunjung tinggi
dan mempertahankan kebebasan akademik, dan juga universiti perlu
menjadi taman ilmu untuk kebebasan melahirkan idea dan pandangan,”
katanya.
Ini, tambah beliau bermakna universiti juga perlu menjadi sebuah
tempat perlindungan untuk menyuarakan pandangan yang kontroversi.
“Kami menyambut baik usaha rakan-rakan akademik tempatan dan
antarabangsa yang telah memberi sokongan yang padu dan jelas serta
sama-sama mempertahankan kebebasan akademik dan kebebasan bersuara
dengan berani dalam isu yang kami bangkitkan ini, dan kami tetap berdiri
teguh mempertahankan Profesor Aziz Bari,” katanya lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA