KUALA LUMPUR, 3 Nov: Pakatan Rakyat mengesyaki
terdapat ‘muslihat politik’ apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) enggan
meluluskan permohonan pendaftaran mereka untuk menjadi satu parti.
Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke berkata, ROS sengaja tidak mahu
meluluskan pendaftaran Pakatan Rakyat kerana takut mereka menjadi satu
gaubungan yang kuat dalam pilihan raya umum ke-13.
Mereka (ROS) sengaja tidak mahu mendaftarkan Pakatan Rakyat kerana
takut kita akan menjadi satu entiti yang kuat untuk mencabar BN.
"Untuk
pilihan raya akan datang, kita tidak boleh letak calon Pakatan tapi
letak calon PAS, DAP dan PKR kerana belum berdaftar. Saya lihat ini ada
muslihat politik," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah pada sidang
media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyelar
jawapan Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Osman baru-baru ini bahawa
pedaftaran Pakatan Rakyat tidak diluluskan kerana mereka tidak membuat
permohonan baru selepas pengerusi Pakatan waktu itu, Datuk Zaid Ibrahim
keluar parti.
"Majlis Presiden Pakatan kesal dengan kenyataan tersebut kerana
Pakatan telah ambil langkah yang perlu sejurus Datuk Zaid tinggalkan
Pakatan.
"Kita lantik pengerusi Pakatan Rakyat yang baru iaitu Ahli Perlimen
Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar menggantikan Datuk Zaid," katanya yang
juga Ahli Parlimen Machang.
Beliau berkata, dalam tempoh dua tahun lalu, mereka sering mengadakan
pertemuan dengan pihak ROS untuk mengetahu perkembangan mengenai
permohonan tersebut tapi gagal mendapatkan sebarang jawapan.
ROS, katanya masih memberi alasan bahawa permohonan lama Pakatan
Rakyat iaitu sewaktu Zaid masih bersama PKR masih belum diluluskan dan
Pakatan tidak membuat permohonan baru.
"Mengikut perlembagaan Pakatan Rakyat, sesiapa yang keluar parti,
kedudukannya sebagai pengerusi akan terbatal. Jadi tiada masalah dalam
hal itu," katanya.
Sehubungan itu katanya, Majlis Presiden Pakatan yang bermesyuarat
petang semalam memutuskan untuk membuat keputusan baru sekiranya
permohonan mereka masih tergantung.
"Sekarang kita buat keputusan untuk teruskan permohonan tapi kalau
tidak ada jawapan juga, kita akan putuskan tindakan baru," katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS, Dr, Hatta Ramli pula
berkata, tindakan ROS itu menggambarkan kelemahan pegawai-pegawai
kerajaan menjalankan tugas.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, ROS sepatutnya memaklumkan
kepada Pakatan sekiranya terdapat kesalahan dalam borang permohonan
atau sebagainya.
"Kalau ada sebarang kesilapan dalam permohonan atau perlu maklumat
biasanya mereka akan hubungi pemohon tapi tiba-tiba kata tak hantar
permohonan baru sedangkan pertukaran individu dalam jawatankuasa penaja
adalah perkara biasa.
"Ini memberi gambaran yang tidak baik kepada pegawai kerajaan dan ada orang yang dijadikan mangsa," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA