KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sebuah NGO, Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan
membubarkan Parlimen pada bulan ini (November 2011), bagi membolehkan
Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Kebangsaan SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata,
berdasarkan maklumat terkini yang diterima oleh pihaknya, pembubaran
Parlimen dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri sekitar 11
November ini.
Menurut beliau, tindakan tersebut sememangnya di luar jangkaan orang
ramai, tetapi maklumat terkini mengenai perkembangan itu diperolehi oleh
pihaknya daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai.
Katanya, pembubaran Parlimen dalam masa terdekat pasti akan
menambahkan lagi kepincangan proses pilihanraya di tanah air kerana ia
diadakan ketika tuntutan rakyat bagi proses pilihanraya yang bersih dan
adil belum dilaksanakan oleh kerajaan.
"Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat (paling tidak)
sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan, maka sudah tentu
satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang dijanjikan oleh
Kerajaan BN.
"Sekiranya ini tetap dilakukan, maka tidak dapat dielakkan persepsi
pilihanraya kali ini hanyalah proses 'palsu' bagi menghalalkan regim
Umno BN terus berkuasa," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan
Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, menurut beliau, SAMM bersama dengan teman-teman
organisasi massa lain yang mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya
memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum hanya
boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihanraya
dilakukan.
Katanya, proses penambahbaikan yang dituntut itu juga seharusnya satu
proses 'reformasi' serius yang memberi jawapan kepada
kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan
bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata.
Beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Bard menambah, yakinlah,
rakyat sudah mula hilang kesabaran kerana negara sedang berdepan dengan
krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya paling teruk sekarang.
"Jika pilihanraya umum masih berlaku sebelum proses penambahbaikan
pilihanraya yang menyakinkan, kami berjanji akan menggerakkan mobilisasi
rakyat terbesar," tegasnya.
Beliau tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat akan turun bukan
sahaja untuk melakukan protes, tetapi benar-benar untuk menukar regim
yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses
demokrasi pilihanraya yang bersih dan adil.
"Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk
memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih
boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan," ujarnya.
Di serata dunia kebelakangan ini, katanya, pelbagai pihak dapat
melihat kebangkitan kuasa rakyat menundukkan pemerintahan diktator di
beberapa buah negara.
Menurutnya, di Malaysia pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat telah
memilih jalan raya untuk mendesak penambahbaikan proses pilihanraya
negara yang terbukti dicemari pelbagai kecacatan yang sering dinafikan
pihak pemerintah.
"Kepincangan proses pilihanraya telah diakui oleh Datuk Seri Najib
dengan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan
Proses Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (Jawatankuasa Pilihan Khas
Parlimen)," katanya.
Bercanggah dengan pengakuan betapa perlunya proses penambahbaikan
proses pilihanraya, tegasnya, kenyataan umum terus dikeluarkan oleh
pimpinan BN dan Perdana Menteri sendiri yang mencadangkan bahawa PRU
Ke-13 diadakan tidak lama lagi dan tidak perlu menunggu proses reformasi
proses pilihanraya selesai.
"Malah lebih menggusarkan dan lebih bercanggah dengan jaminan untuk
menambahbaik proses pilihanraya, timbul pula pelbagai perkembangan
negatif seperti pemberian taraf warganegara kepada rakyat asing secara
'istimewa' untuk tujuan mengundi (khususnya bagi pihak BN)" ujar beliau.
Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Malaysian Civil
Liberties Movement (MCLM), Haris Ibrahim; Pengerusi League Unemployed
Graduates, Devadas Silvaraju; Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr
Rohana Ariffin dan Pengerusi India Justice Party (IJP), PS Jenapala. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA