KUALA LUMPUR, 27 Nov: Timbalan Presiden PAS, Mohamad
Sabu mahu rakyat menilai sendiri Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang
merekodkan pentadbiran negeri Pakatan Rakyat lebih baik berbanding
negeri-negeri BN.
Menurutnya, 'pujian' sebegitu bukan datang
sama ada dari PAS, PKR mahupun DAP tetapi datang dari pihak yang diberi
kepercayaan oleh kerajaan pusat untuk membuat penilaian terhadap semua
negeri.
"Jangan dengar ucapan pemimpin PAS memuji pemerintahan
Kelantan dan Kedah, jangan dengar ucapan pemimpin DAP memuji Pulau
Pinang.
"Sudah tentu pemimpin parti Keadilan memuji Selangor di
sudut jaga kewangan jaga duit, tetapi (dengarlah) laporan orang tengah
iaitu Audit Negara yang memberitahu bahawa negeri-negeri yang diperintah
oleh Pakatan Rakyat jauh lebih baik menjaga wang rakyat daripada
Barisan Nasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika
menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam DAP ke-45 yang diadakan di
Kompleks Sukan Pandamaran di Klang malam tadi.
Turut serta
berucap malam tadi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,
Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Adun Pandamaran Ronnie Liu.
"Laporan
Audit Negara meletakkan di antara negeri yang terbaik jaga kewangan
nombor satu Pulau Pinang dan nombor dua Selangor," kata Mohamad lagi.
Laporan
Ketua Audit Negara 2010 sebelum ini merumuskan bahawa pengurusan
kewangan dan perbelanjaan khususnya Negeri Selangor yang ditadbir
Pakatan Rakyat adalah lebih memuaskan berbanding negeri-negeri yang
ditadbir oleh Barisan Nasional.
Malahan Ketua Audit Negara
menegur pentadbiran di negeri-negeri seperti Terengganu dan Pahang
supaya memperbaiki pengurusan kewangan mereka.
Bagi Kelantan
pula, ketua audit negara merumuskan bahawa kerajaan negeri di bawah
pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
mengamalkan penjimatan cemerlang dalam pentadbiran.
Ianya juga membuktikan kerajaan PAS itu mampu mengurangkan ketirisan dalam pelaksanaan projek membantu rakyat. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA