KUALA LUMPUR, 5 Nov: Pertubuhan
Ikram Malaysia (Ikram) mengambil perhatian terhadap Laporan Ketua Audit
Negara yang dikeluarkan baru-baru ini terutamanya yang menyentuh soal
amanah.
Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani Ikram, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, pemimpin seharusnya memelihara amanah atau kepercayaan yang diberikan kepada mereka.
Katanya, Laporan Ketua Audit Negara merupakan semakan kepada amanah
yang diserahkan kepada pemerintah, penjawat awam dan mereka yang
berurusan dengan mereka.
Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957
menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan
kewangan, aktiviti Kementerian/Jabatan serta pengurusan syarikat
Kerajaan Persekutuan dan mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda
supaya laporan tersebut dapat dibentangkan di Parlimen.
Katanya, Ikram begitu prihatin terhadap dapatan-dapatan yang
dilaporkan berhubung kelemahan pengurusan kewangan kementerian/jabatan,
agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang berkenaan seperti
berlakunya pembaziran dalam perbelanjaan, pembelian harga barangan dan
perkhidmatan yang berganda-ganda lebih tinggi daripada harga pasaran
dan lain-lain bentuk ketirisan kewangan yang saban tahun dilaporkan oleh
Ketua Audit Negara.
“Ikram berpandangan punca utama ketirisan kewangan ialah kurangnya
penghayatan terhadap sifat amanah yang dituntut untuk dilaksanakan
sepenuhnya,” ujarnya kepada Harkahdaily.
Begitu juga, katanya kelemahan-kelemahan yang sama dilaporkan masih
berlaku seolah-olah tiada kesedaran dan tindakan proaktif yang
bersungguh-sungguh di pihak yang berkenaan bagi mempertingkatkan tahap
pengurusan kewangan agar lebih berakauntabiliti, efisien dan efektif.
Salah satu persoalan yang ditimbulkan, ujarnya ialah pembelian 257
buah kereta perisai oleh Kementerian Pertahanan yang didakwa harganya 6
kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran di mana Kementerian
Pertahanan membayar sebanyak RM7.55 bilion atau RM29.4 juta sebuah
sedangkan nilai pasaran yang sepatutnya hanyalah RM1.15 bilion atau
RM4.5 juta sebuah sahaja.
Ini, ujarnya adalah sebagaimana soalan yang ditimbulkan oleh salah
seorang Ahli Parlimen kepada Menteri Pertahanan di sidang Parlimen
baru-baru ini.
“Namun agak menghairankan apabila Datuk Seri Zahid Hamidi selaku
Menteri Pertahanan mendakwa beliau tidak tahu menahu tentang hal ini
sedangkan beliau sendiri hadir menyaksikan majlis menandatangani
perjanjian urusniaga itu di Ankara, Turki pada bulan Februari 2011
lalu,” katanya.
Sehubungan itu, katanya Ikram mencadangkan penambahbaikan dan
peningkatan kawalan dalaman terhadap urustadbir dan pengurusan kewangan
negara ke arah yang lebih baik seperti berikut:
1. Menghayati dan mengamalkan sifat amanah dalam setiap urusan kewangan negara dan kerajaan
2. Mengamalkan sikap telus dan bertanggungjawab dengan
menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan secara tertutup sebaliknya
mengamalkan sistem pembelian dan pemerolehan secara terbuka
3. Menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan barangan dan
perkhidmatan melalui agen atau orang tengah sebaliknya membuat urusan
secara terus dengan pembekal atau pengilang
4. Mengambilkira pandangan pakar dalam proses pembelian dan
pemerolehan barangan dan perkhidmatan yang khusus seperti peralatan
kejuruteraan tinggi (high precision engineering), peralatan perubatan, robotik dan sebagainya bagi mengelakkan pembaziran melalui pembelian yang tidak perlu
5. Mengambil tindakan untuk melaporkan atau merujuk kes-kes
penyelewengan kuasa dan kelemahan-kelemahan yang ketara dalam urustadbir
dan pengurusan kewangan yang melibatkan kerugian kewangan seperti mana
yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara kepada pihak Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak polis untuk membolehkan
siasatan dijalankan
6. Memperkasakan SPRM sebagai satu badan yang bebas dengan
memperuntukkan kuasa pendakwaan turut diberikan kepada mereka dan bukan
hanya kepada Pejabat Peguam Negara
7. Mempertingkatkan kemampuan anggota penyiasatan yakni SPRM dan
pihak polis di dalam menjalankan siasatan berhubung salah laku
pengurusan kewangan dengan menguasai teknik-teknik terbaru seperti forensic auditing atau forensic accounting.
8. Memperkenalkan polisi whistle-blowing dan
menggalakkan samada anggota pekerja sektor awam atau swasta maju ke
hadapan melaporkan kepincangan dan penyelewengan dalam urusan kewangan
yang berlaku kepada pihak berkuasa di mana mereka ini dilindungi oleh
satu undang-undang khas serta diberikan ganjaran yang setimpal hasil
daripada maklumat yang diberikan.
Beliau berkata, Ikram percaya dengan sifat amanah yang diterapkan dan
langkah-langkah penambahbaikan yang dicadangkan di atas diharapkan
kelemahan-kelemahan yang sama yang saban tahun dilaporkan oleh Ketua
Audit Negara di dalam laporan tahunannya akan dapat diminimumkan
seterusnya menyumbang ke arah urustadbir kewangan negara yang lebih
berakauntabiliti, efisien dan efektif. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA