KUALA LUMPUR, 29 Nov: Pendedahan demi pendedahan
telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Lajnah Mobilsasi
Rakyat mengenai pemberian kad pengenalan kepada warga asing, namun
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
masih lagi tidak bertindak mengikut tahap profesionalism mereka.
Pengerusi Lajnah Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS
Malaysia, Dr Ghazali Hasbullah berkata, jawapan yang dikeluarkan
setakat ini adalah kenyataan politik, seolah-olah mewakili Umno BN.
“Antara jawapan yang dikeluarkan adalah, pihak-pihak tertentu tidak mengemukakan bukti kepada SPR.
“Bukti yang bagaimana lagi yang diperlukan oleh SPR dan JPN?” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sehingga kini, katanya SPR telah mengiktiraf kenyataan PAS bahawa wujudnya pengundi hantu.
Pengiktirafan itu, ujarnya dibuktikan melalui pendedahan nama-nama
meragukan yang bukannya seorang dua, tetapi sehingga lebih 60,000 nama.
Menurutnya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan
berkata nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan
media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi
membantu menjelaskan kedudukan.
“Namun, sehingga kini, kita menyedari bahawa ini hanyalah tindakan
yang sekadar ingin melepaskan jerut di tengkuk bahkan ianya acuh tidak
acuh,” katanya lagi.
Tambahnya, terdapat beberapa sudut tindakan yang hanya dengan itu
membuktikan SPR telus dan benar-benar menegakkan demokrasi di dalam
negara.
“Nama-nama yang disiarkan, mempunyai rekod alamat tempat tinggal.
“Mengapakah tiada agensi, baik SPR, mahupun JPN melakukan penjejakan terhadap mereka ini?” soalnya.
Ini, ujarnya adalah suatu kesalahan jenayah, kerana memalsukan maklumat diri seseorang warganegara.
Beliau berkata, sebelum mereka mendaftar sebagai pengundi,
‘hantu-hantu’ itu perlu mempunyai kad pengenalan yang berasingan supaya
dapat didaftar sebagai pengundi kedua atau berganda.
Ujarnya lagi, penghasilan kad pengenalan ini dibuat di Jabatan
Pendaftaran Negara dan rekod petugas yang mendaftar mereka di kaunter
ada di dalam simpanan JPN.
Maka, soalnya mengapa petugas-petugas yang mendaftar itu tidak disoal siasat.
Bahkan, katanya jika didapati bersalah, mereka perlu ditangkap dan
dibicarakan kerana mencemarkan institusi demokrasi negara dan secara
lebih jelas, memperjudikan keselamatan negara kita.
Katanya, pihak PDRM perlu menahan ‘hantu-hantu’ itu kerana mereka
telah menipu kesemua rakyat negara ini dan memperjudikan keselamatan
negara.
Setelah siasatan dibuat, katanya pendedahan siapakah yang merupakan
dalang utama ini pendaftaran haram hantu-hantu ini perlu dibuat.
“Dalang-dalang ini perlu disiarkan muka mereka dikaca televisyen,
dituntut meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia yang mendambakan
keadilan.
“Pihak SPRM juga perlu melihat kes ini dengan lebih kritis kerana
mungkin membabitkan salah guna kuasa pihak SPR atau JPN,” ujarnya.
Sepatutnya, kata beliau tindakan diatas perlu dikoordinasikan oleh
pihak SPR jika benar-benar ingin melihat demokrasi negara ini menjadi
bersih dan adil.
Tambahnya, jika tindakan-tindakan itu tidak diambil, maka ternyata,
SPR bahkan JPN memang dianggap hendak membela ‘hantu-hantu’ itu atas
sebab-sebab menjaga kepentingan ahli politik dan parti pemerintah kerana
SPR dan JPN adalah dilantik oleh pemerintah BN yang zalim.
“Kami memperingatkan SPR dan JPN, supaya harta yang mereka cari, demi
menjaga kerajaan BN serta diri mereka sendiri tidak menjadi bahan bakar
api neraka di akhirat nanti,” ujarnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA