Thursday, August 9, 2012
Baru-baru ini En Abdullah telah mengiystiharkan diri
menyokong PAS dan Pakatan Rakyat melalui satu program Hi-Tea. Apakah faktor
yang mendorong tindakan tersebut?
Abdullah:
Saya berkhidmat selama 29 tahun dengan
kerajaan sebelum bersara November 2010, suasana politik yang tidak selesa pada
saya, menyebabkan saya tidak berminat untuk menyambung khidmat, di usia yang
sudah mencecah 56 tahun saya tergerak hati untuk mengiyitiharkan diri sebagai
penyokong PAS.
Faktor utama ialah Allah telah memberi saya
hidayah untuk memilih PAS dan tindakan ini bukanlah disebabkan atas desakan
mana-mana pihak dan individu, walaupun saya kenal rapat dengan beberapa
pimpinan PAS.
Faktor lain ialah berdasarkan pemerhatian
dan penilaian selama berkhidmat selama 11 bulan dengan PR, saya ikhlas
menyatakan banyak perbezaan antara PR dengan BN terutama ketelusan, keupayaan
dan juga beberapa karakter kepimpinan yang tidak dapat ditandingi oleh pimpinan
UMNO BN.
Walau bagaimanapun kebanyakan yang
menyertai PAS ialah kerana mendapat hidayah dan kesedaran daripada Allah.
Saya menyokong PAS bukan ada apa-apa
kepentingan, juga bukan mendapat imbuhan dan balasan. Saya tidak berniat
langsung untuk menjadi pemimpin PAS atau menjadi calon. Saya hanya mahu
bekerjasama dengan PAS dan PR untuk tumbangkan UMNO BN dalam PRU akan datang.
Harakah :
En Abdullah pernah dilabel sebagai
“conspirator” dalam insiden rampasan kuasa yang berlaku di Perak oleh
blogger-blogger dan masyarakat khususnya penyokong Pakatan Rakayat yang mungkin
tidak tahu situasi sebenar. Apakah perasaan En Abdullah apabila ditohmah begitu
rupa, dan di waktu itu apakah kedudukan yang sebenar ?
Abdullah:
Secara peribadi saya berasa sedih kerana
saya tidak boleh menjelaskan perkara sebenar ketika itu disebabkan tiada
platform dan ruang untung menafikan dakwaan-dakwaan tersebut.
Sehinggakan jiran-jiran saya berfikiran
serong kepada saya yang dianggap telah bersekongkol dengan BN untuk menjatuhkan
kerajaan Pakatan Rakyat.
Saya ingin jelaskan dan tegaskan bahawa saya
tidak terlibat langsung dengan apa yang dipanggil konspirasi apatah lagi
sebagai konspiratornya. Saya hanya pegawai kerajaan yang berjawatan Setiausaha Dewan Undangan
Negeri, bertanggungjawab ke atas perjalanan sidang dewan dan juga yang
berkaitan dengannya dan juga bertanggungjawab ke atas perjalanan mesyuarat EXCO
kerajaan negeri yang juga diberi tugas mencatat dan menyediakan kertas dan
minit mesyuarat. Dalam DUN Bos saya ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, dalam
mesyuarat EXCO bos saya ialah Menteri Besar dan dalam perkhidmatan kerajaan bos
saya pula ialah Setiausaha Kerajaan negeri. Ketika kemelut politik yang
memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.
Di awal kemelut politik berlaku, tidak ada
yang mengenali saya ketika itu. Nama saya hanya muncul apabila saya menyanggahi
arahan Speaker DUN Perak.
Saya bertegas bahawa tindakan-tindakan adalah
disebabkan tekanan dari pihak atasan, saya
tidak upaya elak berbuat demikian kerana terpaksa menerima arahan pihak atasan.
Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan
sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya
sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang
kontrovesi iaitu sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker yang sah ketika itu, YB
V Sivakumar sebagai tidak sah.
Atas sebab kenyataan saya itu, tercatat
memori dan sejarah dunia apabila sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok
kerana Adun Pakatan Rakyat dihalang memasuki dewan.
Jadi kenyataan itu tidak ada kaitan dengan
konspirasi rampasan kuasa oleh UMNO BN.
Saya mahu tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak
terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat
termasuklah ‘membeli’ Adun dan sebagainya.
Dalam kesempatan ini saya ingin bersihkan
nama saya yang dianggap menjadi “conspirator” dalam insiden rampasan kuasa oleh
BN itu.
Harakah :
Kerajaan Pakatan Rakyat tumbang apabila
Adunnya melompat parti tetapi Dato’ Seri Nizar Jamaluddin dan PR serta disokong
oleh beberapa pakar perundangan bertegas bahawa YB Nizar tetap sebagai Menteri
Besar yang sah. Jadi apa pandangan saudara ketika itu?
Abdullah:
Harus diingat, mengikut Undang-Undang Tubuh
Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu
disabitkan dengan salah laku jenayah @ hilang kelayakan sebagai Adun,
perletakan jawatan, dan apabila berlakunya pembubaran DUN.
Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi
tidak percaya kepada Menteri Besar dan majoritinya menyokong dan mengundi tidak
percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan
ataupun membubarkan DUN.
Dato’ Seri Nizar tidak pernah dijatuhkan
undi tidak percaya oleh ahli dewan dan sebab itu saya tidak terkejut dengan
keputusan Mahkamah Tinggi sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya.
Saya lebih chenderong untuk setuju dengan
keputusan Mahkamah Tinggi.
Harakah :
Apa pandangan En Abdullah ketika insiden V
Sivakumar diusung keluar yang ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai Speaker?
Abdullah:
Apabila kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan,
BN ketika itu tidak nampak ada satu lagi institusi ataupun jawatan penting
iaitu Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.
Tidak ada guna mendapat kuasa Menteri Besar
jika belum mendapat kuasa Speaker kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan
bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Undangan Negeri
Jadi jika inginkan kuasa sebenar
kerajaan dalam sidang DUN, BN ketika itu
perlukan kuasa sepenuhnya di dewan dan ini
yang mereka terlepas pandang.
Semasa sidang yang berlaku dalam keadaan
tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya
mempengerusikan sidang DUN, ketika itu V Sivakumar masih duduk di kerusinya.
Tiba-tiba Timbalan Speaker, YB Hee Yit Fong
adakan satu sidang dewan di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya
sebagai Setiausaha DUN berasa pelik, saya baca buku perintah tetap tentang
tindakan Hee itu namun saya tidak menjumpai satu fasal pun yang membenar keadaan itu
berlaku, ini bermakna Peraturan Tetap Dewan telah dilanggar.
Saya tidak pasti siapa yang mengusung V
Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ianya bukan staff dewan kerana saya
mengenali semua staff-staff.
Kejadian tersebut telah menjadi sejarah
dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara.
Harakah :
En Abdullah ada pengalaman yang lama dengan
BN berbanding dengan PR yang cuma 11 bulan, jadi apakah perbezaan yang ketara
antara kerajaan PR dengan BN.
Abdullah
Antong:
Semasa mula-mula Pakatan Rakyat memulakan
tugas, kami tertanya-tanya bagaimana corak pemerintahan dan adakah Pakatan
Rakyat mampu memerintah. Saya sendiri tidak berapa yakin dengan PR ketika itu.
Sebagai pegawai kerajaan, saya menjalankan
tugas seperti biasa. Kami pegawai kerajaan hanya sebagai pelaksana terhadap dasar
dan polisi kerajaan PR, apa yang mereka putuskan, kami wajib melaksanakannya.
Perbezaan yang sangat ketara ialah Adun-Adun
Pakatan Rakyat terutama EXCO sangat mesra dan mudah mendampingi pegawai dan
kakitangan kerajaan. Tidak birokrasi. Tidak
pernah sebelum ini seorang Menteri Besar
boleh turun makan tengah hari di kantin bersama pegawai-pegawainya melainkan
Dato’ Dato’ Seri Nizar.
Semua Exco Pakatan Rakyat termasuklah dari
kalangan DAP cukup merendah diri dan tidak sombong dan egois.
Pemerintahan Pakatan Rakyat sangat telus
sehinggakan Nizar sering menasihatkan
kepada Exco-Exconya supaya tidak mengambil kepentingan parti melainkan
kepentingan rakyat.
Dari segi ketekunan, saya sangat terkejut mesyuarat
dijalankan begitu panjang sehingga ada kalanya melewati lepas Asar. MB dan para
EXCOnya begitu teliti terhadap semua kertas mesyuarat sama ada mahu melulus
atau menolak. Semua diberi peluang untuk memberi pandangan. Tidak ada di
kalangan EXCO yang meminta kertas itu dan kertas ini didahulukan dalam agenda
mesyuarat.
Dalam kos jamuan keraian anjuran kerajaan
negeri juga dikurangkan termasuklah jamuan sewaktu mesyuarat EXCO. Setiap kali
mesyuarat EXCO kos jamuan hanya RM 45 sehari sekepala berbanding dulu hanya
untuk minum pagi sahaja RM 45 sekepala.
Waktu solat, surau di pejabat SUK sangat
meriah, Dato’ Seri Nizar sendiri akan
mengimamkan solat berjemaah seterusnya menyampaikan tazkirah. Ini sangat
berbeza dengan pemerintahan BN.
Ketika bulan Ramadhan dihiasi dengan
pelbagai program seperti tazkirah setiap pagi,
Semua EXCO, ADUN yang muslim serta beberapa
pegawai kerajaan termasuk SUK, pegawai kewangan dan Mufti diberi peluang
menyampaikan tazkirah Ramadhan. Ia sangat mengesankan sekali. Ada EXCO DAP
beritahu saya juga turut merasa seronok mendengar tazkirah pagi.
Pemberian bubur lambuk yang dibuat sendiri
oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan pelbagai lagi program untuk mengimarahkan
bulan Ramadhan.
Ini baru perkara-perkara kecil, belum
sentuh bab lain seperti pemberian air percuma, pengecualian kompaun, pemberian
tanah hak milik kekal kepada kampung tersusun dan Kampung Baru, dermasiswa
kepada pelajar-pelajar yang ke IPT, dan sebagainya.
Setiap kali mesyuarat, Dato’ Seri Nizar
bersama barisan exco sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dan
ini menggambarkan betapa tekun serta bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.
Harakah :
Semasa pemerintahan Pakatan Rakyat selama
11 bulan dahulu, PAS dan MBnya sering dimomokkan sebagai "boneka"
atau "kuda tunggangan" DAP, Dato’ Seri Hj Nizar pula hanya ikut
telunjuk EXCO DAP dalam membuat apa sahaja keputusan. Jadi apa pandangan En
Abdullah ?
Abdullah
Antong:
Saya lihat inilah yang menjadi modal utama
BN bagi memberi persepsi buruk masyarakat terahadap PAS dan ini adalah tidak
betul sama sekali.
Dalam mesyuarat Exco Pakatan Rakyat, mereka
tidak langsung membawa kepentingan peribadi berbanding dengan BN yang sentiasa
membawa kepentingan peribadi.
Tuduhan UMNO BN yang mengatakan DAP
menguasai mesyuarat dan MB mengikut arahan DAP ternyata fitnah semata-mata.
Semua perkara dibincangkan secara menyeluruh dan Dato’ Seri Nizar memberi
peluang semua ahli mesyuarat untuk berucap dan menyatakan pandangan mereka.
Saya mengambil contoh satu kes menggazetkan
surau di Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham selaku Adun kawasan tersebut pergi
melihat sendiri situasi surau tersebut. Pada
mulanya mesyuarat mewartakan setengah ekar untuk kawasan surau itu, Dato’ Ngeh
mencadangkan untuk meluaskan lagi tapak surau tersebut bagi memudahkan parking
kereta umat Islam yang hendak beribadah. Ini membuktikan DAP tidak mempunyai
sikap anti Islam dan perkauman.
Berlaku lagi satu kes meluluskan satu tapak
tokong Cina di Tambun. Kawasan yang terletak di tepi gua
tersebut sangat bahaya dan tidak sesuai untuk medirikan tokong. Jabatan yang
berkaitan tidak bersetuju dan menasihatkan tidak diluluskan. Mesyuarat menerima
cadangan syor tersebut, lalu menolak permohonan tapak tokong. Dan saya tidak
lihat Exco dari kalangan DAP yang membantah keputusan itu atau mempertahan
permohonan tersebut dan mereka semua setuju.
Saya lihat persefahaman antara Ecxo sangat
baik dan menghormati Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar walaupun DAP
majoriti.
Harakah :
Selepas mengisytiharkan diri sebagai
penyokong perjuangan PAS dan PR, adakah terdapat kekangan-kekangan dan tawaran
yang datang dari kerajaan BN Perak?
Abdullah
Antong:
Sahabat-sahabat saya tiada masalah dengan
tindakan saya menyertai PAS, ada juga yang membantah. Ramai yang terkejut
kerana tiba-tiba dengan tindakan saya. Mereka fikir, selepas pencen saya duduk
sahaja.
Seorang bekas pegawai tinggi kerajaan ada
berjumpa saya menasihatkan saya supaya membatalkan hasrat untuk menyertai PAS.
Saya tidak pastilah , itu kehendak dia ke atau diminta oleh pemimpin UMNO untuk
memujuk saya.
Saya hairan kenapa mereka sangat takut dengan
tindakan saya, adakah ianya isu hangat, adakah saya ini terlalu bahaya kepada BN.
Sedangkan ramainya bekas pegawai tinggi kerajaan menyerta PAS dan PR seumpama
satu fenomena masa kini.
Kemungkinan juga kerana saya banyak
mengetahui cerita dan rahsia. Saya tahu ada perkara yang boleh diceritakan, ada
rahsia yang tidak boleh didedahkan. Perkara-perkara kecil yang tidak menjadi
rahsia kerajaan bolehlah saya kongsikan.
Sampai sekarang ini, mereka masih memerhatikan
saya dan mengikuti perkembangan ini. Saya juga diminta berjumpa dengan orang
politik UMNO BN untuk kononnya tarbiah saya atau “brainwash” saya.
Saya bertekad untuk tidak berjumpa dengan
mereka dan saya akan tolak jika ada
apa-apa imbuhan dan sogokan daripada mereka.
Harakah :
Buat masa ini En Abdullah belum lagi menjadi ahli PAS secara sah, bila agaknya akan mengisytiharkannya secara rasm.
Abdullah :
Saya menyerahkan kepada PAS Perak untuk memilih masa yang sesuai dan saya sudah bersedia berbuat demikian. Namun saya belum bersedia untuk naik di pentas ceramah kerana faktor kesihatan yang belum sembuh sepenuhnya setelah menjalani pembedahan yang agak kritikal.
Harakah :
Untuk yang terakhir ni, apa seruan En
Abdullah kepada seluruh rakyat Perak dalam PRU akan datang.
Abdullah Antong
Saya nak beritahu, UMNO BN sekarang ini
bukanlah kuat sangat, mereka dapat kuasa pun bukan dengan cara demokrasi. PR
dapat mandat dari rakyat melalui PRU
yang lalu sekalipun dengan majoriti yang terlalu kecil. UMNO BN dapat kuasa
setelah 3 orang Adun mengkhianati mandat rakyat. Oleh itu, saya rayu dan seru
seluruh rakyat Perak buat perubahan dengan berani pada PRU akan datang.
Kembalikan semula kuasa PR melalui kuasa rakyat. Saya yakin Insya Allah, PR
akan kembali memerintah Perak selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA