KUALA LUMPUR 7 Ogos: Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk
melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada bulan Ogos ini
dalam Ops Sikap sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dikecam oleh
pemimpin Pakatan Rakyat.
Mengulas keputusan JPJ itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff
menyifatkan kerajaan cuba mengambil kesempatan ke atas rakyat yang
pulang ke kampung halaman untuk berhari raya.
“Saya pasti banyak saman akan dikeluarkan. Isunya adakah kadar
kemalangan berjaya dikurangkan atau tidak,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Yusmadi, beliau sememangnya sangsi dengan sistem tersebut.
Apatah lagi setelah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda pada sesi
Parlimen lepas, menaikkan kadar saman trafik antara RM300 hingga RM2,000
bagi setiap kesalahan.
Katanya, kadar saman yang tinggi dan jumlah sasaran kutipan yang
besar memperlihatkan niat kerajaan untuk mencari keuntungan berbanding
mendidik pemandu.
“Saya menggesa supaya pemantauan dijalankan dengan lebih mantap untuk mendidik pengguna, bukan sekadar mengenakan saman sahaja.
“Kerajaan juga harus lihat tugas menjaga keselamatan ini sebagai
tanggungjawab mereka dan bukan sebagai peluang untuk kutip dana,”
katanya lagi.
Yusmadi ketika perbahasan, mencabar Ahli Parlimen BN menandatangani
‘akujanji’ untuk menarik balik pindaan jika kadar kemalangan tidak
berkurangan. Bagaimanapun tiada Ahli Parlimen BN yang berani menyahut
cabarannya.
Sebelum ini, Bendahari Agung KEADILAN, William Leong mendedahkan
kutipan saman jalan raya akan dikongsikan antara kerajaan dengan dua
syarikat pengendali AES, Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd.
Beliau memetik laporan akhbar The Edge, bahawa dua syarikat itu mensasarkan jumlah sepuluh juta saman dikeluarkan setahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA