KUALA LUMPUR, 2 Dis:
Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rang
Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 pada persidangan Dewan Rakyat 24
November lalu memaksa PAS mengambil tindakan saman terhadap beliau dan
Kerajaan Malaysia hari ini.
Saman tersebut difailkan bersama oleh
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr
Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jam 10.00 pagi tadi.
Menurut
Mohamad Sabu, tindakan saman itu difailkan menerusi syarikat guaman
Hanipa Maidin & Co dengan turut ditemani peguam terbabit, Mohd
Hanipa Maidin yang juga peguam PAS, dengan menamakan Najib yang juga
Ahli Parlimen Pekan, Pahang sebagai responden pertama dan Kerajaan
Malaysia responden kedua.
Katanya, tujuan saman itu difailkan
adalah untuk melakukan semakan kehakiman terhadap rang undang-undang
tersebut dan bagi mendapatkan 3 perintah dari mahkamah.
"Pertama
adalah perintah deklarasi bahawa responden-responden telah bertindak
melebihi kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila
memperkenalkan dan membentangkan rang undang itu di Parlimen bagi
menjadikannya sebagai undang-undang atau akta, meskipun bercanggah
dengan Perkara 10 (1) (b) dan 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan,"
katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
Perintah
kedua, menurut beliau, bagi melarang responden-responden daripada terus
bertindak melebihi kuasa mereka dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan
melarang responden-responden meneruskan segala proses bagi menjadikan
rang undang-undang itu sebagai akta yang boleh dikuatkuasakan.
"Ketiga,
secara alternatif, perintah mandamus bagi memaksa responden-responden
mengambil langkah-langkah yang perlu dan wajar untuk sama ada menarik
balik semula rang undang-undang itu atau membuat pindaan-pindaan yang
perlu agar selaras dengan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan
Persekutuan," katanya.
Sementara itu, Mohd Hanipa Maidin berkata,
meskipun rang undang-undang tersebut telah dipinda pada persidangan
Dewan Rakyat, hakikatnya, Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia tetap
telah bertindak melampaui kuasanya kerana memperkenalkan rang
undang-undang itu yang bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) yang dibaca
bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.
"Ini
menjadikan rang undang-undang tersebut, sekiranya berjaya dijadikan Akta
yang berkuatkuasa, adalah terbatal dan tidak sah di bawah Perkara 4 (1)
Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.
Responden-responden,
katanya, hanya mempunyai kuasa untuk membentang rang undang-undang yang
selaras dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tetapi
responden-responden telah bertindak melebihi kuasanya kerana
membentangkan rang undang-undang tersebut yang bercanggah dengan Perkara
10 (1) (b) yang dibaca bersama-sama Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan
Persekutuan.
Menurutnya, tindakan responden yang melampaui
kuasanya sudah boleh dilihat secara jelas di dalam muqadimmah rang
undang-undang tersebut dengan menyatakan: "adalah suatu Akta yang
berhubungan dengan hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata dan
untuk memperuntukkan sekatan-sekatan yang didapati perlu dan suai
manfaat yang berhubungan dengan hak itu demi kepentingan keselamatan
Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam, termasuk
perlindungan hak dan kebebasan orang lain dan untuk memperuntukkan
perkara-perkara yang berkaitan".
Meskipun Perkara 10 (2) (b)
Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen melalui undang-undang
mengenakan sekatan ke atas hak kebebasan berhimpun secara aman dan tanpa
senjata yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (b), katanya, namun
sekatan yang boleh dikenakan adalah terhad kepada sekatan yang perlu
demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-nama bahagiannya atau
ketenteraman awam sahaja.
"Bagaimanapun, RUU tersebut secara
jelas memberi kuasa kepada Parlimen untuk bukan sekadar mengenakan
sekatan yang perlu demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau
kententeraman awam, sebaliknya membenarkan Parlimen mengadakan sekatan
bagi melindungi hak kebebasan orang lain.
"Pada hal frasa
"termasuk perlindungan hak dan kebebasan orang lain" itu adalah frasa
yang tidak wujud di dalam Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan,
namun telah dimasukkan di dalam fasal 2 (b) rang undang-undang itu,"
tambahnya.
Frasa-frasa seperti "perhimpunan serentak" yang
dinyatakan di Fasal 17 dan "perhimpunan balas" yang dinyatakan di Fasal
18, tegasnya, adalah sesuatu yang melangkaui kuasa Parlimen yang
dinyatakan di bawah Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan dan ini
menjadikan kedua-dua fasal itu "unconstitutional".
"Meskipun hak
berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang diperuntukkan di bawah
Perkara 10 (1) (b) masih boleh disekat oleh Parlimen melalui
undang-undang, namun kuasa Parlimen tidak mencakupi sehingga ke tahap
melenyapkan terus atau melarang secara mutlak hak berhimpun secara aman
dan tidak bersenjata," katanya.
Beliau menegaskan Fasal 4 (1)
(c) (d) dan (e) rang undang-undang itu pula secara jelas bertentangan
dengan Perkara 10 (1) (b) dan Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan
Persekutuan.
"Fasal 4 (1) (b) secara jelas melarang sama sekali
protes jalanan yang ditafsirkan di bawah Fasal 3 rang undang-undang itu
sebagai "suatu perhimpunan terbuka yang bermula dengan suatu perhimpunan
di tempat yang ditentukan dan melibatkan perarakan atau perhimpunan
beramai-ramai bagi maksud membantah atau memajukan sesuatu tujuan
tertentu.
"Jadi, Fasal 4 (1) (b) itu adalah satu peruntukan yang
bersifat satu larangan mutlak dan bukan sekadar satu sekatan yang
dibenarkan oleh Perkara 10 (2) (b), tanpa mengira sesuatu perhimpunan
itu aman dan tanpa senjata serta matlamat perhimpunan tersebut,"
jelasnya.
Manakala Fasal 4 (1) (d) rang undang-undang itu pula,
tambah beliau lagi, melarang sama sekali seseorang yang di bawah umur 21
tahun menganjurkan perhimpunan, tanpa mengambil kira warganegara
Malaysia sendiri, perhimpunan aman dan tanpa senjata, pelajar dan
tempat.
Setelah diteliti, pihaknya mendapati Fasal 9, 10, 11,
12, 13 dan 14 rang undang-undang tersebut turut bercanggah dengan
Perkara 10 (1) (b) dan Perkara 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.
"Antaranya
termasuklah larangan berhimpun sekitar 50 meter dari sesuatu tempat
yang ternyata tidak masuk akal dan jelas bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan," tegas beliau.
Disebabkan realiti itu, Mohamad Sabu
pada sidang media itu menyifatkan rang undang-undang tersebut lebih
teruk dari undang-undang di Myanmar, apabila kerajaan negara itu kini
telah pun keluar dari alam diktatornya, tetapi diambil alih pula oleh
Najib.
Turut hadir pada sidang media itu, Dr Dzulkefly Ahmad dan
Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan
Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA