KUALA LUMPUR, 4 Dis: Tindakan Umno yang mahu
kepimpinan parti itu mengadakan sumpah bai'ah bagi mengelakkan tindakan
khianat dan sabotaj oleh ahli sendiri, membuktikan mereka mengakui cara
yang digunakan PAS.
Ahli
Parlimen PAS Baling, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib berkata, Umno yang
sebelum ini mengecam amalan PAS mengadakan sumpah bai'ah bagi
mengelakkan ahlinya lompat parti akhirnya terpaksa meniru cara tersebut.
"Kalau
ini (sumpah bai'ah) lahir daripada hati dan keikhlasan orang Umno, ini
menunjukkan apa yang dilakukan PAS selama ini yang dipandang serong oleh
Umno telah diakui kebenarannya.
"Usia Umno yang sudah terlalu
lama menunjukkan ia sudah jauh ketinggalan. Hakikat sebenarnya ialah apa
yang dilakukan oleh Umno itu sebenarnya mengakui pendekatan yang
dilakukan oleh PAS.
"Oleh sebab itu, daripada dia meniru (PAS) baik dia menyertai PAS terus," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Sewaktu
perbahasan usul di Perhimpunan Agung Umno semalam, perwakilan Umno
Terengganu, Komaruldin Omar mencadangkan diadakan sumpah bai'ah dengan
merujuk kepada tindakan PAS dan dipersetujui para perwakilan yang lain.
Taib
yang juga bekas imam besar Masjid Negara bagaimanapun berkata, sumpah
bai'ah hanya terpakai untuk perkara bertujuan kebaikan dan kebenaran,
bukan untuk tujuan kebatilan.
Tegasnya, Umno sebagai parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar tidak wajar mengadakan sumpah bai'ah.
"Bai'ah
boleh berlaku di atas sesuatu perkara untuk tujuan kebenaran...kalau
bai'ah untuk tujuan kebatilan, bai'ah itu menjadi satu kemungkaran dan
tidak termasuk dalam erti kata bai'ah yang sebenar.
"Jadi kalau
Umno masih tidak meletakkan Islam sebagai dasar, maka bai'ah itu tidak
ada gunanya Jadi tak perlulah orang Islam tertipu dan terpedaya dengan
keadaan ini," katanya yang merupakan bekas imam Masjid Negara.
Tambahnya,
tindakan Umno itu juga menunjukkan parti itu sudah berada dalam keadaan
lemah dan terpaksa menggunakan apa sahaja cara untuk dijadikan
'tongkat' bagi meneruskan pemerintahannya. "Inilah salah satu
bukti yang boleh dilihat oleh masyarakat...dari segi spiritnya, politik
Umno sudah memang terkapai-kapai...jadi apa sahaja yang dia rasa dia
boleh capai untuk jadikan tongkat nak selamatkan parti, dia akan guna.
"Takkanlah masyarakat nak terima orang yang pakai tongkat untuk memerintah?" katanya.
Sementara
itu, menyentuh dakwaan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bahawa
beliau berani dan sudah empat kali bersumpah berbanding Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang enggan bersumpah, Taib berkata, Najib
masih belum keluar daripada kejahilannya.
"Kalau itu yang Najib
mainkan, maksudnya dia masih belum keluar daripada kejahilan
dia...walaupun nasihat dan pandangan telah diberi oleh para ulama dan
mufti tapi kalau dia main lagi isu itu maksudnya dia orang yang tak sudi
keluar daripada kejahilan," katanya.
Najib sebelum ini bersumpah
laknat bahawa beliau tidak mengenali dan tidak terlibat dalam
pembunuhan wanita Monggolia, Altantuyaa Sharibuu |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA