Ismail Hashim |
SHAH ALAM, 31 Mei: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi hari ini menegaskan kesediaan PAS untuk menggantikan Umno dalam usaha mentadbir negara ke arah yang lebih baik. Beliau yang menang tanpa bertanding untuk penggal kedua jawatan itu sesi 2011-2013 berkata, masyarakat dan rakyat sudah merindui satu kehidupan lebih harmoni di bawah panji perjuangan Islam yang diterajui oleh PAS dan sudah lama muak dengan sikap Umno selama ini. Menurutnya, dalam PAS kini sudah wujud satu badan khas, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai rakyat Malaysia bukan beragama Islam yang meyakini dasar perjuangan PAS. Nasrudin berkata demikian ketika bercakap dan menyampaikan hujahnya di dalam Wacana Sinar Harian siri 4 yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (KMK), dekat sini, petang tadi. Turut menjadi panelis adalah Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan pensyarah UIAM, Dr Maszlee Malik sebagai moderator. Hadirin yang kebanyakannya penyokong kedua-dua belah pihak memenuhi dewan namun tahap kebisingan mereka tidak seteruk suasana wacana bulan lalu yang tidak dikawal dengan sebaiknya. "Saya mempunyai nekad ingin membawa anggota PAS khasnya pemuda agar mengamalkan dasar dan sistem politik berakhlak, hemah, bermaruah dan tidak tidak mahu politik jijik, keji apatah lagi menjatuhkan dan membina jatidiri di atas sikap kesengsaraan dan penderitaan orang lain," tegas Nasrudin. Dalam sesi sama, beliau mempertahankan akhbar Harakah yang disifatkan oleh Khairy sesat dan enggan menarik balik tuduhan itu, lantas Nasrudin mempersoalkan tindakan akhbar pro-Umno, Utusan Malaysia, lebih teruk dengan menyiarkan gambar lucah dan menjolok mata pembaca. Sebelum itu di awal wacana, Nasrudin menyebutkan tentang perjuangan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya dan yakin dengan peranan agama Islam itulah menjadi pembimbing dan pendorong kepada ahli-ahlinya ke arah terbaik. "Namun di sana, tidak bermakna semua anggotanya maksum tetapi sekurang-kurangnya dapat memagar, membantu dan membina agar tidak terlalu terdedah kepada maksiat dan mungkar. "Dengan dasar itu, mereka dapat menjadi insan, pejuang dan ahli politik yang baik namun di sana seperti agama Islam sendiri di mana ada yang masih tidak mentaati Islam, secara umumnya ini keluar dari dasar," tegasnya lagi Menyentuh tentang tajuk wacana, beliau berkata fitnah bersifat umum, ia boleh berlaku sama ada dalam dan luar parti politik dan di dalam masyarakat dan individu. Mereka yang melakukan fitnah memang dimurkai Allah SWT kerana di sana sudah hilang peranan dosa pahala, syurga neraka dalam tindakan mereka terbabit. Beliau menambah, politik negara ini kini menjadi terlalu ganas melepasi syurga neraka, dosa pahala, sebagai contoh, bila menuduh, mereka hendaklah membawa empat saksi, bukannya empat klip video. Katanya, walaupun kini senjata sudah moden dan sangat canggih namun mereka yang ketandusan idea politik akan tetap menggunakan senjata fitnah untuk membunuh musuh politik mereka. Ustas Nasrudin melahirkan rasa simpati kepada Khairy dan rakan-rakan yang sering menerima fitnah sesama mereka dalam usaha mendapat tempat dalam kedudukan politik mereka. Tegasnya, rakyat negara sudah ingin kepada sistem politik berasaskan hujah, berhikmah, telus dan tulus serta pandangan berasas serta bernas dan bukan berhasrat menjatuhkan lawan begitu sahaja dengan fitnah. Sekitar 10 soalan dikemukakan hadirin dan dijawab dengan baik kecuali satu soalan yang dibuat oleh seorang Muslimat mengenai 'sampai bila Umno ingin berhenti dari terus melakukan fitnah' yang gagal dijawab oleh Khairy dengan baik. |
Selamat Datang
Rabu, 1 Jun 2011
PAS ganti Umno negara jadi lebih baik
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA