Selamat Datang

Rabu, 22 Jun 2011

Munajat Perdana sempena himpunan aman Bersih 2.0


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Dewan Ulama PAS Pusat menyeru diadakan Munajat Perdana di seluruh negara sempena himpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini.

“Sempena himpunan aman Bersih 2.0 yang insya Allah akan diadakan 9 Julai ini, maka Dewan Ulama PAS Pusat menyeru supaya seluruh pendukung PAS pimpinan, ahli dan penyokong mengadakan munajat perdana secara besar-besaran di stadium, padang-padang, markaz atau di mana-mana lokasi yang sesuai,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Nazmi Nik Din dalam satu kenyataan.

Katanya, Dewan Ulama setiap negeri diberikan tugas untuk menggerakkan dan merealisasikan ketetapan itu.

“Seluruh ahli dan pendokong PAS diseru supaya berdoa dan memohon kepada Allah SWT dengan rasa rendah diri dan tawadhuk di atas luar keupayaan kita untuk menghadapi tipu daya dan kejahatan oleh pihak-pihak tertentu yang mencemarkan proses pilihan raya di negara ini.

“Sebelum ini kita telah mendengar pelbagai penyelewengan yang telah berlaku untuk mengkhianati suara rakyat yang mahukan perubahan terhadap negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku di Terengganu dalam pilihan raya tahun 2004 menyedarkan kita bahawa BN Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan survival mereka terus kekal di Malaysia.

Manakala baru-baru ini, ujarnya kita telah dikejutkan dengan laporan yang menyatakan bahawa terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menyalahgunakan pendatang-pendatang asing untuk mencemarkan kemurniaan dan ‘kebersihan’ pilihan raya di negara ini.

Dewan Ulama, katanya tidak akan merelakan perkara daripada terus berlaku di bumi Malaysia ini.

Beliau menambah, Dewan Ulama akan menggunakan keupayaan yang syarie dan berlandaskan undang-undang negara untuk menjadi benteng bersama sayap yang lain untuk mempertahankan kemurniaan ini.

Jelasnya, Dewan Ulama tidak akan membiarkan mana-mana pihak tertentu samada parti atau NGO untuk menangguk di air yang keruh bagi merosakkan hubungan yang harmoni di antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini.

“Dewan Ulama insya Allah akan memastikan agar himpunan Bersih 2.0 menjadi platform dan simbol perpaduan dan kesatuan rakyat dari pelbagai latar belakang,” ujarnya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails