Selamat Datang

Selasa, 16 Februari 2010

PERJALANAN PERTAMA RASULULLAH


Dalam usia dua belas tahun, bapa saudara baginda Abu Talib telah membawa baginda bersama-sama ke negeri Syam untuk berniaga. Ketika sampai di satu tempat bernama Basra, mereka telah berjumpa dengan seorang padri yang bernama Buhaira yang bijak dalam hal berkaitan dengan Kitab Injil dan agama Nasrani.

Beliau memerhatikan Nabi Muhammad dan bertanya kepada Abu Talib samada budak itu anaknya. Lalu Abu Talib mengakui anaknya kerana beliau terlalu kasih kepada baginda. Namun Buhaira menafikannya dengan mengatakan bahawa tidak mungkin bapa budak itu masih hidup. Akhirnya Abu Talib mengaku bahawa nabi Muhammad itu adalah anak saudaranya dan menyatakan bahawa bapanya telah meninggal dunia semasa dia masih dalam kandungan ibunya.

Buhaira mengakui kebenaran cerita Abu Talib dan menerangkan bahawa semuanya itu telah dinyatakan di dalam Kitab Injil. Seterusnya beliau menasihatkan agar Abu Talib membawa pulang Rasulullah kerana takut akan dibunuh oleh orang Yahudi yang juga mengetahui tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad. Maka Abu Talib pun segera membawa pulang Nabi Muhammad ke Makkah.

Pengajaran yang dapat direnungkan dari kisah di atas ialah kelahiran nabi Muhammad telah diketahui oleh golongan Yahudi dan Nasrani kerana telah dicatatkan dalam Kitab Injil dan Taurat. Malahan mereka mengenal tanda-tanda kenabian pada Rasulullah seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri sebagimana firman Allah yang maksudnya;

'Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah kami beri Al-Kitab (Injil dan Taurat) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran padahal mereka mengetahui.' (al-Baqarah:146),

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails