Selamat Datang

Isnin, 15 Februari 2010

KEPUTERAAN NABI MUHAMMAD SAW.


Baginda dilahirkan pada tahun gajah iaitu tahun di mana Abrahah Al Asyram telah melanggar masuk ke kota Makkah untuk menawan dan memusnahkan Al-Ka'bah. Namun percubaannya itu menemui kegagalan di mana Allah swt telah mengutuskan sekumpulan burung-burung Ababil yang mencederakan dan memusnahkan angkatan tentera Abrahah. Baginda dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal.

Baginda adalah yatim ketika dilahirkan. Ayahnya wafat ketika baginda baru dua bulan dalam kandungan ibunya. Setelah dilahirkan baginda dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib. Baginda disusukan oleh seorang perempuan dari puak Sa'd bin Bakr yang dkenali sebagai Halimah binti Abi Zuwaib. Penyusuan baginda oleh Halimah merupakan satu adat resam orang-orang Arab ketika itu.

Mengikut sirah, kampung Bani Sa'd ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Ketibaan Nabi Muhammad ke rumah Halimah dan menyusu darinya menyebabkan keadaan kampung itu berubah dari kering tandus mulai basah menghijau. Kambing ternakan yang dahulunya kelaparan kini kelihatan ceria dan uncang-uncang susunya penuh berisi. Baginda disusui sehingga berumur lima tahun dan dihantar kembali ke pangkuan ibunya. Semasa di bawah jagaan Halimah juga Nabi Muhammad telah dibedah perutnya dan dibersihkan hatinya bagi pertama kalinya.

Ibunya wafat semasa baginda berusia enam tahun yang membawa keadaanya menjadi yatim piatu. Baginda dipelihara dan didik pula oleh datuknya walaupun tidak lama selepas itu datunya pula wafat ketika baginda berusia lapan tahun. Seterusnya baginda diasuh pula oleh bapa saudaranya yang bernama Abu Talib.

Dari peristiwa di atas beberapa pengajaran dan renungan dapat dibuat iaitu

1. Nabi Muhammad saw dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan yatim piatu dan hanya sempat membesar di bawah jagaan datuknya dalam masa yang singkat menunjukkan bahawa Islam yang dibawa oleh baginda tidak dipengaruhi oleh didikan ibu bapa atau warisan keluarga. Islam yang dibawa adalah terus dari Allah swt.

2. Perubahan di perkampungan Bani Sa'd yang kemarau teruk menjadi basah kehijauan merupakan tanda kedudukan martabat baginda yang tinggi disisi Allah dan kurniaan dan limpahan rahmat kepada kaum Bani Sa'd dengan kehadiran baginda di sana. Lebih jelas lagi Baginda Rasulullah merupakan rahmat Allah untuk manusia sejagat dan alam sekeliannya sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran yang firmannya bermaksud

" Dan tidak kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat untuk sekeliam alam".

3. Peristiwa baginda dibedah dan dibersihkan hatinya oleh Jibril adalah untuk mengisytiharkan kerasulan dan menjadikan baginda ma'sum serta mempersiapkan baginda untuk menerima wahyu dari Allah swt. Pembedahan ini merupakan pembersihan rohani yang dialami oleh baginda oleh Allah swt.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails