KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Mengapa lapan pegawai imigresen yang ditahan secara misteri di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dibicarakan dalam mahkamah terbuka, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan.
"Jika benar mereka melakukan kesalahan dan terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia, mengapa tidak dibicarakan mereka dalam mahkamah terbuka?
"Penahanan sedemikian di bawah ISA sentiasa dilihat sebagai usaha untuk menyembunyikan fakta dan dalang sebenar dan perkara ini telah lama berlaku kerana ketika kami ditahan di bawah ISA dalam operasi Lallang pada 1987 dahulu, terdapat beberapa pegawai imigresen yang berada dalam tahanan di Kem Kamunting bersama-sama kami," katanya.
Menurut Mahfuz, sejak dari dahulu lagi telah berulang-ulang persoalan mengapa kerajaan menafikan hak rakyat untuk tahu perkara sebenar dengan membicarakan pegawai-pegawai yang terbabit di dalam mahkamah terbuka dan bukan ditahan secara misteri di bawah ISA.
Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pembebasan lapan pegawai imigresen ditahan di bawah ISA pada tahun lalu itu kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia
"Akhbar harian melaporkan bahawa harta dan aset pegawai-pegawai tersebut mencecah jutaan ringgit, persoalannya adakah para pegawai rendah sahaja boleh melakukan perkara besar yang dari segi prosedurnya memerlukan penglibatan pihak atasan?
"Kita sudah beberapa kali melihat, apabila terdedah sesuatu kesalahan besar, yang diambil tindakan hanyalah para pegawai termasuk ketua setiausaha kementerian, tetapi menteri terlepas begitu sahaja," katanya.
Mahfuz berkata, akhbar harian juga menyebut perbuatan mereka sebagai perbuatan terkutuk.
"Persoalannya perbuatan terkutuk bagaimana dan adakah para pegawai rendah imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang pernah ditahan di bawah ISA hakikatnya melakukan perbuatan terkutuk yang akhirnya menguntungkan Barisan Nasional (BN)?" kata Ahli Parlimen Pokok itu sambil merujuk kepada kes Likas.
Dalam kes tersebut, Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang membatalkan keputusan pilihan raya DUN Likas yang menyebelahi BN pada 2001 atas alasan senarai pemilih 1998 bagi kawasan berkenaan tidak mengikut undang-undang di mana pengundi-pengundi hantu, termasuk yang bukan warganegara, terbukti dibenarkan membuang undi pada hari pengundian.
Dalam penghakimannya, Muhammad Kamil dipetik sebagai berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal menjalankan tanggung jawab mereka dalam mengesahkan dan menggazet senarai pemilih yang mencurigakan, di samping banyak laporan yang dibuat terhadap kepincangan SPR serta pihak kerajaan bagi menjalankan siasatan terhadap wujudnya orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan dalam senarai pemilih. Terbaru, blog Perisik Rakyat mendedahkan kebanjiran mereka yang hanya mempunyai status penduduk tetap (PR) dalam daftar pemilih.
Apa yang lebih mencurigakan, hanya beberapa jam selepas didedahkan, seorang pemegang status PR, Mismah, yang tersenarai dalam daftar pemilih tiba-tiba didapati menjadi warganegara oleh carian Malaysiakini dalam sistem JPN.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dilihat cuba berlepas tangan apabila mendakwa kesilapan itu mungkin berpunca akibat kecuaian teknikal JPN.
Mengulas reaksi Abdul Aziz itu, Mahfuz berkata: "Mereka boleh tuduh sesama sendiri dan kita tahu bahawa Abdul Aziz pernah menjadi Ketua Setiusaha Kementerian Dalam Negeri di mana JPN berada di bawahnya.
"Tetapi persoalannya adakah selepas ini pegawai rendah sahaja yang salah dan mungkin ditahan secara misteri di bawah ISA manakala pihak yang mendapat untung besar terutamanya yang mendapat pengundi hantu untuk menghalang kebangkitan rakyat dan mempertahankan kuasa secara penipuan akan terlepas begitu sahaja?" |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA