Selamat Datang

Rabu, 28 September 2011

Tidak salah kalau sejarah dinilai kembali


| Print |
Muhammad Faizal   

SHAH ALAM, 27 Sept : "Pendapat kamu benar tapi pendapat aku belum tentu salah," jelas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution pada satu program Wacana 'Merdeka Wajarkah Sejarah Ditulis Semula' anjuran Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini.



Saifuddin yang menjadi panel ketiga menjelaskan sejarah negara ini tidak salah kalau dinilai ataupun ditelitikan kembali kerana itu adalah hak yang perlu diutamakan dalam memenuhi pendapat individu.

"Sejarah menjadi isu yang agak panas pada masa kini dan pelbagai isu timbul dari Mat Indera sehinggalah pada satu tahap kenyataan yang mengatakan negara ini tidak pernah dijajah, tapi apa yang ingin saya nyatakan adalah tidak salah kita menilai jika ada pendapat baru dan bukan masa untuk kita mencari siapa hero.

"Kita melihat di Filipina yang sekarang ini juga sedang hangat dengan soal sejarah disana dan pelbagai pihak mengeluarkan pendapatnya sendiri dan ini lah negara demokrasi yang mengamalkan kebebasan untuk menyatakan pendapat.

"Apa yang saya sentuh ini adalah negara Filipina bebas untuk rakyatnya persoalkan kemerdekaan tetapi di negara kita sebaliknya mereka yang berkata-kata dengan pendapat sejarah baru ditangkap serta didakwa di mahkamah," jelasnya.

Tambahnya lagi, apa jua pendapat yang dinyatakan oleh setiap individu ia tidak boleh dikatakan salah kerana tentu ada bukti-bukti terbaru yang ditemuinya dan sepatutnya kerajaan menilainya terlebih dahulu bagi mengetahui kesahihannya.

"Sejarah perlu dilihat dari pelbagai sudut dan bukannya hanya tertumpu kepada satu arah sahaja. Mungkin terdapat bukti-bukti terbaru dan dalam keadaan ini kebenaran sejarah perlu kita pertahankan kebenaran walaupun baru ditemui sehingga menimbulkan pertikaian.

"Betul yang mengatakan orang terakhir dalam perjuangan akan diraikan dan keadaan ini seumpama dalam perlumbaan larian yang mana peserta terakhir akan diraikan apabila menang sedangkan pelari sebelumnya diabaikan.

"Inilah yang berlaku dalam sejarah negara mereka yang memperjuangkan kemerdekaan akan dianggap perjuang sejarah tetapi mereka yang berjuang dari awal sejak zaman Kesultanan Melaka tidak pernah dianggap perjuang kemerdekaan, kenapa ini berlaku dan ia perlu dipersoalkan.

"Merungkai cerita Tok Janggut di Kelantan, beliau bukannya pemberontak tetapi beliau hanya memimpin rakyat yang tidak puashati dengan cukai yang dikenakan oleh Inggeris, pemimpin rakyat adakah itu juga dikatakan pemberontak.

"Kita perlu melihat Tok Janggut adalah seorang pembela bukannya pemberontak tetapi tidak pernah ada dalam pelajaran sejarah yang menjelaskan siapa Tok Janggut yang sebenarnya.

"Persoalan sedemikian yang timbul ini perlu dikaji semula dan tidak salah untuk kita mengkaji atau reformasikan kembali sejarah negara kalau ada fakta baru," sambung beliau lagi.

Saifuddin juga memberitahu sejarah terbit dari tiga faktor iaitu melalui sikap prajudis dan prasangka.

"Tiga faktor membentukkan sejarah iaitu pertama sikap prajudis dan prasangka yang mana ia boleh berlaku kesilapan jika seseorang itu mempunyai niat sedemikian, yang kedua adalah mereka yang membuat kajian hanya mengikut laporan tertentu tanpa usul periksa dan terakhir sekali jahil kepada hakikat peradapan umat manusia.

"Kajian baru perlu ada dan sejarah perlu diperbaharui jika fakta yang dikemukakan adalah fakta yang betul," usulnya lagi.

Wacana tersebut turut diserai Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Universiti Malaya Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dan Pakar Sejarah Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr. Ramlah Adam yang dipengerusikan Syed Menawar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails