Selamat Datang

Selasa, 20 September 2011

550 peneroka Felda Bera tuntut RM300 juta


| Print |
Khairil Abdul Rahim   
TEMERLOH, 20 Sept: Seramai 550 peneroka dari Felda Gugusan Bera hari ini menuntut pihak Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM300 juta hasil penjualan sawit mereka sejak 16 tahun lalu.

Writ tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh melalui peguam-peguam Nasar Mirbas Khan dan Hanipa Maidin.

Ketika bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Nasar Khan berkata tuntutan peneroka ialah  berkaitan kadar perahan gred (KPG) yang dibayar kepada peneroka dengan terdapat unsur penipuan kerana dibayar lebih rendah daripada gred sebenar.


“Selain daripada itu peneroka selaku plaintif menuntut wang isi rong sawit, tandan yang ditolak tetapi diproses, keladak minyak dan abu tandan sawit yang semuanya mempunyai nilai tetapi tidak dibayar atau dikembalikan oleh Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan.

“Untuk tahun 2008 sahaja, kerugian yang dialami peneroka kerana tidak dibayar hasil yang disebutkan ialah RM19 juta dan tuntutan bermula sejak tahun 1995. Jadi kita jangka peneroka sepatutnya dibayar sekitar RM300 juta lagi,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda Keadilan Pusat Suhaimi Said serta pemimpin-pemimpin peneroka.

Sementara itu Tuan Ibrahim ketika diminta berucap, berkata para peneroka hanya menuntut keadilan terhadap hak mereka sendiri tanoa meminta hak orang lain.

“Berdasarkan kes-kes saman yang sama dibicarakan di mahkamah sebelum ini, keputusan-keputusannya menyebelahi peneroka. Ini menunjukkan mereka benar.

“Ini muafakat mereka bersama tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang jadi isu ini merupakan kepentingan bersama,” katanya.

Suhaimi Said pula memberitahu, sebelum ini 1,061 peneroka daripada Felda Gugusan Jengka telah tampil menuntut kerugian yang serupa daripada Felda dan anak syarikatnya di mahkamah yang sama.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails