MACHANG, 16 Sept:
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) sebagai langkah di saat-saat terdesak.
“ISA sepatutnya dihapus sejak lama dulu dan bukan di saat-saat
terdesak seperti sekarang. Zaman komunis sudah lama berlalu, lagi pun
tidak ada lagi fahaman komunis kecuali sekular di Malaysia.
“Sejak dahulu ISA telah membuat jenayah kepada alim ulama di
Kelantan. Sebab itulah saya menyertai PAS kerana melihat pengkhianatan
Umno terhadap alim ulama.
“Ulama PAS dikenakan ISA sedangkan kita ada mahkamah, hakim dan
peguam,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan
Hari Malaysia di padang Majlis Daerah Machang di sini, hari ini.
Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan dan Hari Malaysia
diserikan pelbagai persembahan antaranya kebudayaan melibatkan Melayu,
India dan Cina.
Selain itu pertunjukan mempertahankan diri dan tempur tanpa senjata oleh Rejimen Askar Melayu Diraja yang memukau hadirin.
Perdana Menteri malam tadi mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan
Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 dalam ucapan
perutusan khasnya sempena Hari Malaysia.
"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa
mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA
akan dikaji secara komprehensif.
"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta
Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," kata
Najib.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata,
apa tujuan diwujudkan sistem kehakiman kalau rakyat disekat membela diri
daripada tuduhan tertentu.
“Alim ulamak adalah golongan yang mengajar supaya manusia taat kepada
Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dilarang Islam,” tambah
beliau.
Menurutnya juga Nabi Muhammad saw memerdekakan manusia daripada
syaitan kepada mentaati Allah SWT seperti sering disebut dalam permulaan
solat setiap hari.
Katanya, Nabi Muhammad saw ialah penganjur kemerdekaan yang sebenar
di dunia, berjuang memerdekakan umat Islam daripada gangguan nafsu
syaitan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap sebelum itu
berkata, kedatangan Islam ke alam dunia membawa mesej dan sifat
kemerdekaan bagi menyeru manusia membebaskan diri daripada belenggu
jahiliah serta syirik.“Konsep kemerdekaan komprehensif dilaksanakan di Kelantan melalui
dasar ‘Membangun Bersama Islam’ iaitu mengemudi manusia ke arah
pengabdian diri kepada Allah SWT,” katanya.Beliau juga Pengerusi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kekantan dan Sambutan Hari Malaysia.Sambutan kali ini disertai 75 kontinjen jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, badan-badan beruniform dan sekolah.
Sementara itu kontinjen terbaik dimenangi Majlis Perbandaran Kota
Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), naib johan UITM Machang, manakala
tempat ketiga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud,
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim anggota-anggota
Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua
jabatan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA