KOTA BHARU, 27 Sept: Skim bantuan beras percuma
(Al-It’aam) yang dilaksanakan di Kelantan mulai Febuari lalu berjaya
meningkatkan permintaan beras tempatan sehingga 80 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi
Negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara itu didedahkan Pengerusi
Persatuan Pengilang-Pengilang Padi Bumiputera Pantai Timur, Zakiron
Zahid.
“Walau pun mulanya hanya untuk membantu meringankan bebanan rakyat
miskin, namun ia turut membantu pengilang-pengilang padi,
pengedar-pengedar dan peniaga beras tempatan.
”Bahkan turut membantu para penanam padi. Program ini memberi manfaat
kepada 8,100 penduduk miskin, di mana setiap bulan mereka menerima
beras sebanyak 10 kg setiap seorang,” katanya pada perasmian Hari
Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2011 di sini kelmarin.
Program dwitahunan itu bertema ‘Pemangkin Kecemerlangan Pertanian
Kelantan’ diadakan Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula 21
September sehingga 2 Oktober ini.
Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul
Aziz Nik Mat. Hadir sama Timbalan Menteri Buruh Thailand, Vitsa Khanthap
dan jurucakap Jabatan Perdana Menteri Thailand, Paijitra Argsornnarong.
Che Abdullah berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.5
juta tahun ini bagi mengendalikan skim bantuan beras tersebut.
”Program Skim Al-It’aam merupakan yang pertama diadakan di Malaysia bagi membantu rakyat miskin di Kelantan.
”Program serupa juga pernah dirancang Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani pada 2009, bagaimanapun ditangguhkan sehingga
sekarang,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri turut melancar program ’Bertani
Satu Ibadah’ bagi menerapkan amalan agama dalam bidang pertanian.
Bertani Satu Ibadah
Menurutnya matlamat pelaksanaan ‘Bertani Satu Ibadah’ untuk mencapai matlamat Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara 2015.
Beliau juga berkata, program Hari Peladang tahun ini turut menarik
minat pelabur-pelabur dari luar negara datang melihat pencapaian bidang
pertanian di Kelantan.
Katanya, pelabur terbabit termasuk dari Jepun, Korea Selatan, Australia dan Thailand berminat mengintai peluang di negeri ini.
Menteri Besar berkata, kaum Saba’ mempunyai kemahiran tinggi dalam
bidang pertanian sehingga mampu mencipta teknologi canggih dan empangan
sejak zaman lampau lagi.
“Pembinaan empangan dan saliran yang baik mampu menghasilkan hasil
pertanian yang berlipat kali ganda. Ini membuktikan aktiviti pertanian
sudah lama sebati dalam kehidupan manusia.
“Di Kelantan dasar pertanian dicetus berdasar kepada dasar Membangun
Bersama Islam bagi memastikan segala kerja buat diredhai Allah SWT,”
katanya.
Sementara itu pengusaha industri mee kuning dari Kuala Krai, Nor
Aziah Ariffin diumumkan penerima anugerah Usahawan Industri Asas Tani,
manakala kategori Usahawan Tani Jaya dimenangi Zulkifli Awang.
Selain kategori Perternak Jaya Ruminan (Zulkifli Mohd Zin), Perternak
Jaya Bukan Ruminan (Deraman @ Mohammad Jaafar), Perikanan Jaya (Saat
Abdullah), Usahawan Laut Dalam Jaya (Nazori Yusof).
Peladang Jaya Lelaki (Mohd Noor Awang Hamat), Peladang Jaya Wanita
(Norma Abdullah), Peladang Jaya Muda (Zairi Abdullah), Nelayan Jaya (Che
Hashim Che Mamat), Nelayan Muda Jaya (Che Mohammad Che Hashim) dan
Kunita Jaya (Kunita Jaya Sri Kemanyang.
Kategori Kelompok Jaya dimenangi Projek Kelompok Pemulihan Tanah
Terbiar Kampung Slow Kulim, Teliar, Pasir Mas dan Kumpulan Pengembangan
Wanita Jaya (KPW Kampung Renok Baru Gua Musang) |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA