KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Polis Negara Tan Sri
Ismail Omar didesak agar tidak menampakkan sangat beliau berkhidmat
untuk Barisan Nasional (BN) apabila begitu risau parti itu kalah pilihan
raya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.
Kenyataan dan
pandangan Ismail secara terbuka bahawa kerajaan BN boleh kalah dalam
pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) dengan baik, dilihat tidak septutnya dikeluarkan
seorang kakitangan kerajaan.
"Apa masalah kepada pasukan polis kalau BN kalah? Mengapa Ketua Polis Negara nampak risau sangat?
"Saya
harap sangat tidak ada kaitan dengan apa yang disebut oleh (Tun) Dr
Mahathir (Mohamad) bahawa sudah jadi parti perasuah," kata beliau.
Mahfuz mempersoalkan, mengapa Ketua Polis Negara sibuk sangat sama ada BN menang atau kalah?
"Kalau
Ismail dah terlupa, rakyat perlu bangkit beramai-ramai untuk
mengingatkannya bahawa tugas polis menjaga kepentingan negara dan
rakyat, bukan menjadi suruhan BN dan menjadi pengawal keselamatan parti
itu.
"Polis sepatutnya dilihat tidak memihak," kata Ahli Parlimen
Pokok Sena itu yang menyifatkan Ketua Polis Negara itu memperlihatkan
dirinya lebih Umno dari Umno.
Mahfuz juga mempersoalkan apa
perlunya pihak polis mengadakan sesi memerah otak, diskusi dan juga
forum sehingga berbulan-bulan lamanya sebelum ISA dan lain-lain
undang-undang darurat dihapuskan.
"Adakah polis sudah mengambil alih tugas Jabatan Peguam Negara?
"Kerja polis bukan menggubal undang-undang, kerja polis menguatkuasakan undang-undang," katanya.
Sambil
mengakui pihak polis boleh dipanggil untuk memberikan pandangan dalam
penggubalan sesuatu undang-undang yang berkaitan dengan bidang kuasanya,
Mahfuz berkata adalah pelik kalau Ketua Polis Negara pula yang nampak
lebih sudu dari kuah.
Beliau juga berharap Ismail mengurangkan kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan dirinya sendiri.
"Sekarang
semakin ramai yang menuduh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kelihatan
lebih tidak cerdik dari (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi).
"Saya harap Ismail lebih berhati-hati agar beliau tidak popular dengan tuduhan tidak cerdik seperti Abdullah," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA