KUALA LUMPUR, 16 Sept:
“Ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai
penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang
amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata Prof
Datuk Dr Zainal Kling.
Namun, jelasnya terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan
berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura,
Melaka dan Pulau Pinang), Canada, Australia ataupun malahan India,
dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS. Katanya, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'.
Menurutnya, pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan
hubungan luar,” ujarnya dalam tulisan yang diemel kepada Harakahdaily,
petang ini.Tambahnya, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi
kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan.
Oleh kerana itu, ujarnya para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah).Katanya lagi, para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklangsung).“Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga,” jelasnya.
Berikut tulisan penuh beliau.
YBhg. Saudara Editor Harakah Daily,
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doa agar saudara dan rakan-rakan di Harakah sentiasa dalam barakah dan sihat sentosa.
Sukacita saya merujuk kepada penerbitan Harakah, Edisi Jumaat, 18-20
Syawal 1432 bersamaan 16-18 September 2011 berkaitan pelbagai berita,
ulasan dan pandangan pada halaman N1, N2, N4, N11, N13, N14, F3, F4,
F11, F17, N21, N26, N29, yang terdapat di dalam penerbitan pada hari
itu.
Saya amat berterikasih dan syukur jika Saudara dapat menyiarkan
petikan dari apa yang dirakam dan diedarkan dalam 'Kenyataan Akhbar'
dalam persidangan media Majlis Profesor Negara pada Hari Jumaat
September 2011 itu. Tujuannya sekadar menjelaskan dan memaklumkan
catatan sebenar agar perselisihan pandangan mungkin dapat dibetulkan.
Saya akan mengutip edaran Kenyataan Akhbar yang dimaksudkan itu.
Berkaitan isu Tanah Melayu ukan Koloni tetapi Naungan, Kenyataan Akhbar itu ditulis, antara lain, seperti berikut:
"Negeri-negteri Melayu (B- FMS- atau tidak Bersekut - UFMS) tidak
pernah menjadi colony atau tanah jajahan British .... Tanah Melayu tidak
pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun
kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk 'penjajahan'
(colonialism)...Penilaian pengkaji sejarah kolonialsme British terhadap
perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'Breach of trust'
(R. Braddell) dan 'indirect rule' (R.Emerson)...Mereka melakukan
penjajahan walaupun tidak sahih (illegitimate)."
Dua perkara yang ditegaskan di situ. Pertama, ada beza antara konsep
'colony' dan 'protecorate'. Pada realitinya di zaman British itu, ada
beza antara penbtadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.
Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan
luar. Kedua, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi
kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan. Oleh
kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya
sebagai 'breach of trust' (pecah amanah). Para ahli sejarah seperti R.
Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung).
Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British
sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga.
Dengan demikian, ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran
British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa
kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan
golongan-golongan lain. Namun terdapat sedikit perebezaan antara
penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat
(Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) , Canada, Australia ataupun malahan
India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan
UFMS. Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu
sebuah colony maka institusi raja itu terhapus begitu sahaja.
Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah 'protectorate' maka institusi raja,
keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan
Persekutuan dan Negeri-Negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk
kerajaan pada masa ini. Perbezaan 'tipis' (seperti kata Profesor Aziz
Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar
yang bijaksana, kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi
serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa
kini dan akan datang.
Diharap sedikit penjelasan ini dapat mengurangkan jurang pendapat
yang telah muncul. Salam bahagia dan terima kasih. Wabillahi taufik wal
hidayah.
Profesor Datuk Dr Zainal Kling. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA