Selamat Datang

Selasa, 18 Mei 2010

Kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu : Isyarat Dari Rakyat Untuk UMNO / BN

Artikel Oleh: ahmadfadhli

"1. Tahniah diucapkan kepada parti DAP yang mewakili Pakatan Rakat di dalam pilihanraya kecil di Sibu di atas kejayaan menumpaskan Barisan Nasional semalam. Seperti biasa saya lihat media massa arus perdana sukar sekali menyiarkan keputusan ini secara besar-besaran, amat berbeza jika Barisan Nasional yang merangkul trofi kemenangan sekalipun dengan majoriti yang amat kecil.

2. Jika ditanya kepada saya punca kekalahan Barisan Nasional, jawabnya mudah. Rakyat sudah terlalu mual dengan politik wang. UMNO dan BN membeli rakyat seperti membeli ayam itik. Binatang ternakan boleh dibeli, tapi jika manusia pun ingin dibeli, jelas sekali manusia sudah ingin disamakan dengan ayam itik. Harapnya UMNO / Barisan Nasional sedar, tidak semua manusia boleh dibeli. Taburlah berlian dari langit sekalipun, prinsip bukannya barang dagangan. Alhamdulilah, kami di Kelantan sudah kenal perangai feel budi UMNO.

3. Di Sibu, kaum CIna terbukti sudah menolak Barisan Nasional. Demikian juga di Hulu Selangor. Kalau masih belum jelas apa isyaratnya, boleh saja saya nyatakan. Dalam laungan ketuanan Melayu yang bergema, sedarkah UMNO ada hati yang terasa, ada sanubari yang terguris? Menjulang keris dan menciumnya di khalayak ramai sambil memekik Ketuanan Melayu seolah-olah Cina dan India bukan rakyat Malaysia, inikah politik yang nak dibawa oleh UMNO? Bukanlah saya anti Melayu, namun Melayu yang dilaungkan UMNO hanyalah slogan ‘buaya darat’ yang mencari mangsa untuk dibaham. Ia bukan slogan suci. Kenajisannya terbukti apabila royalti minyak kepada Kelantan dinafikan sedangkan Kelantan ialah negeri yang lebih 90% rakyatnya Melayu!

4. Nyata sekali tepat langkah PAS menolak perpaduan dengan UMNO dan sebulat suara mengambil ketetapan untuk terus bersama-sama mengukuhkan Pakatan Rakyat. Di dalam mengiklankan Islam yang sebenar kepada mereka yang non muslim, PAS memilih bersama Pakatan Rakyat. Bukankah selama ini Islam inilah yang disolekkan begitu hodoh oleh UMNO? Justeru, mengharapkan Islam tertegak melalui keris UMNO, saya kira amat mustahil. Keris itu tidak lain hanyalah bertujuan merobek keharmonian demi mengenyangkan perut-perut orang-orang tertentu.

5. Kepada saudara-saudara yang masih berada di dalam UMNO, saya titipkan nasihat, tinggalkanlah bahtera kebangsaan yang hampir karam itu. Yakinlah bahawa langit dan bumi ini bukan diciptakan oleh bangsa Melayu, bukan juga oleh bangsa Arab atau mana-mana bangsa. Ia diciptakan oleh Tuhan segala bangsa iaitu Allah SWT. Jika hidup hanya berpijak lantai kebangsaan, saya yakin ia akan retak jatuh menghempas tanah. Inlah tujuan hidup kita. Bukankah itu yang dipesan olehNya bahawa hidup ini untuk mengabdikan diri kepadaNya? Mengabdikan diri sepanjang masa, sepanjang hayat dalam segenap urusan kehidupan. Bukan mengabdikan diri hanya dalam urusan terpilih seperti yang ditadah di dalam kitab kebangsaan milik UMNO!

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 17 Mei 2010 / 3 Jamadil Akhir 1431

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails