Mohd Shubihi Muhamad Zain, | 02 Mac 2012 |
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, operasi perlombongan di tapak seluas 26.091 hektar itu dijalankan secara usaha-sama di antara anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Nacstone Mining Worlwide (M) Sdn. Bhd.
"Sumber baru ini akan memberikan pulangan royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri dan tidak termasuk keuntungan yang diperolehi PKB melalui kerjasama itu," jelasnya pada sidang media selepas lawatan kerja dan majlis pelancaran operasi pengeluaran bijih besi, semalam.
Menurutnya lagi, dianggarkan lebih satu juta metrik tan bijih besi di tapak yang pertama beroperasi, manakala di tapak berdekatan masih lagi menunggu kelulusan untuk dilombong.
"Sepanjang tiga bulan beroperasi, sudah tiga kali bijih besi di eksport ke China melibatkan jumlah sebanyak 100,000 tan dan nilainya bergantung pada pasaran harga semasa.
"Saya yakin kapasiti pengeluaran kita mencukupi bagi menampung permintaan berikutan operasi melombong yang dijalankan sepanjang masa," katanya.
Azizan berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti berbagai lagi hasil bumi lain yang bakal memberikan pulangan kepada Kedah.
"Beberapa tapak lain juga dikenal pasti mengandungi bahan galian bernilai seperti kuart di Bukit Kachi di Sintok yang hanya menunggu kelulusan lesen pajakan melombong.
"Sudah ada pengusaha yang berminat untuk mengeluarkan galian di atas tapak berkeluasan 405 hektar itu, dan saya gembira Kedah kini memperoleh rezeki yang melimpah dari dalam tanah untuk manfaat penduduk di sini," ujarnya.
Turut hadir dalam lawatan kerja dan majlis pelancaran tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail dan pimpinan-pimpinan Kerajaan Negeri Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA