Majdan Dagang, | 29 Mac 2012 |
Hakikatnya, pelaksanaan cukai tersebut sudahpun dilaksanakan sejak tahun lepas, namun pernyataan terbaru ini menyerlahkan belang sebenar Umno-BN. Seperti biasa, alasan-alasan tertentu akan dicipta untuk menghalalkan tindakan mereka. Alasan seperti “lebih rendah berbanding negara jiran”, “kenaikan tidak membebankan rakyat”, sudah biasa didengar dan diulang-ulang.
Apalah gunanya rakyat digula-gulakan dengan pemberian wang Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 setahun, sedangkan pada masa yang sama mereka dibebankan dengan pelbagai cukai dan kenaikan kos sara hidup.
Jika boleh diibaratkan wang BR1M itu sebagai umpan, undi itu sebagai mata pancing. Maka, rakyat yang cerdik hanya memakan umpan tetapi tidak memakan mata pancing sekali. Jika tersilap memakan umpan dan mata pancing bermakna rakyat akan menanggung akibat buruknya.
Pernyataan itu mendedahkan sikap sebenar kerajaan Umno-BN bahawa niat pemberian mereka hanyalah untuk tujuan umpan politik. Jika negara menghadapi defisit, datang dari mana pula duit BR1M tersebut. Makin bertambah susutlah duit negara. Adalah lebih baik, semua elaun para menteri dipotong untuk mengurangkan kadar defisit tersebut.
Kini, antara alasan bagi pelaksanaan sepenuhnya GST selepas PRU13 ialah mengurangkan defisit negara, apabila ada GST, cukai korporat dan individu dapat dikurangkan, serta sudah 143 negara telah melaksanakan GST termasuk Kanada, Australia, Singapura, Hong Kong dan New Zealand.
Ya, memang benar, negara yang disebutkan diatas telah melaksanakan GST dan berjaya meningkatkan pendapatan negara. Tetapi, sebagai kerajaan yang prihatin dengan kemaslahatan rakyat dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab, sebelum melaksanakan GST perkara pertama yang wajar diberi perhatian ialah ketirisan dalam membelanjakan dana awam.
Yang terbaru dan terhangat tentulah kes NFC yang membabitkan Datuk Seri Shahrizat Jalil. Tidak perlu diulas panjang lebar kerana semua rakyat Malaysia yang celik minda dan terbuka kepada maklumat telah maklum. Itu baru seorang menteri, bagaimana dengan yang lain-lain? Jika benarlah seperti yang didakwa oleh Shahrizat bahawa bukan dia seorang sahaja terlibat.
Bagaimana pula dengan laporan audit negara yang menunjukkan pembelian barangan oleh sektor awam terlalu tinggi daripada harga sebenar. Bagaimana boleh berlaku pembelian seunit binokular 29 kali lebih mahal daripada harga semasa. Tidakkah ini suatu penyelewangan wang rakyat? Melalui laporan ketua audit negara ini, kita sudah tahu betapa duit rakyat dirompak sewenang-wenangnya, tidakkah perkara ini perlu diperbetulkan dahulu?
Bagaimana pula dengan penganugerahan konsesi dan projek yang tidak mengikut saluran yang betul dan harga yang lebih tinggi daripada nilaian semasa?
Jika perbelanjaan dana awam ini dilakukan dengan berhemat, sudah tentu negara tidak mengalami perbelanjaan defisit – dalam bahasa mudahnya perbelanjaan melebih pendapatan. Jika ketirisan ini dapat dibendung maka negara akan ada wang yang cukup dan tidak perlulah GST dilaksanakan.
Ya, rakyat mungkin boleh menerima kenaikan GST jika masalah seperti Isu NFC tidak berlaku, ribuan hektar tanah rizab Melayu tidak tergadai, pinjaman pendidikan tidak menindas pelajar dan pelbagai lagi isu yang menaniaya rakyat.
Walaupun pelaksanaan GST didakwa akan mewujudkan ruang untuk negara menurunkan cukai korporat dan individu, namun hakikatnya tidak menguntungkan rakyat keseluruhannya kerana kos sara hidup telah meningkat.
Tidak perlu tunggu isu ini dipolitikkan pun, rakyat yang celik mata hatinya akan sedar kebobrokan Umno BN menindas rakyat. Rakyat perlu sedar bahawa jika Umno-BN berjaya mempertahankan kuasa mereka selepas PRU13 ini, maka GST adalah hadiah yang terbaik untuk rakyat. Tunggulah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA