Selamat Datang

Ahad, 11 Mac 2012

‘Virus’ NFC goyah kubu Umno di selatan

Aslani M, 11 Mac 2012
KOTA BHARU, 11 Mac: Bermula di Gemas virus yang membarah dalam projek Nasional Fidlot Corporation (NFC) dijangka berjangkit ke negeri-negeri lain, sebelum ini dianggap kubu tradisi Umno dan Barisan Nasional (BN).

Pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakop berkata, aura Gemas yang mulai dikenali ramai ekoran pendedahan penyelewengan projek NFC membabitkan keluarga seorang menteri, antara punca kubu Umno di selatan semakin goyah.

Katanya, pada pilihan raya umum lalu, Pakatan Rakyat menguasai 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan.

“Kesan tsunami 2008 sudah berlaku namun belum cukup kuat untuk menumbangkan kerajaan BN yang ada sekarang.


“Namun isu NFC di Gemas akan memarakkan lagi tsunami yang dijangka berjangkit ke Melaka, Johor dan Pahang,” katanya pada forum PRU-13, anjuran Gabungan NGO Kelantan di Kelantan Trade Centre malam tadi.

Turut bertindak sebagai panelis Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli. Manakala Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah bertindak sebagai moderator.

Hadir sama Naib Pengerusi Gabungan NGO Kelantan, Wan Abdul Halim Wan Ismail dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus.

Isu NFC yang didedahkan Rafizi sejak tahun lepas ternyata membuatkan Umno makin lemas sehingga menyebabkan Perdana Menteri dijangka mengumum kedudukan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam masa terdekat ini.

Dr Rosli yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata, Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya memerlukan lima lagi Dun bagi memperkuatkan kedudukan mencabar Umno dan BN.

Beliau juga mendakwa banyak isu yang menarik perhatian rakyat berlaku di Negeri Sembilan termasuk Menteri Besar, Tan Sri Muhamad Hassan dikatakan membawa keluar wang berjumlah RM10 juta.

Menurutnya isu terbabit mengundang kepada tindakan Bank Negara menarik lesen sebuah pengurup wang yang disyaki bersubahat dengan pemimpin terbabit.

Mohamad pula berkata, tidak dapat dinafikan kemungkinan Bersih 3.0 diadakan sekiranya daftar pemilih tidak benar-benar dibersihkan.

Katanya, pertambahan luar biasa bilangan pengundi baru di beberapa tempat di Kuala Lumpur dan Selangor begitu membimbangkan.

Misalnya parlimen Subang berlaku pertambahan sehingga 35 peratus, sedangkan Petaling Jaya Selatan yang terletak bersebelahan hanya meningkat 7 peratus.

Kata beliau berdasar kepada kajian didapati sembilan kawasan di Selangor berlaku pertambahan pengundi baru melebihi 20 peratus.

Rafizi pula mendedahkan rakyat Malaysia akan berdepan dengan kehilangan wang simpanan mereka di Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd sekiranya kerajaan tidak mampu membayar balik hutang yang dipinjam.

“Wang simpanan kita untuk hari tua akan hilang begitu sahaja sekiranya kerajaan tidak mampu membayar balik.

“Oleh itu bagi mengelakkan bebanan kepada rakyat pada masa akan datang, PRU-13 menjadi langkah terbaik bagi menukar kerajaan yang ada sekarang,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails