Selamat Datang
Rabu, 18 Ogos 2010
Pornthip pertahan Teoh Beng Hock cedera sebelum jatuh
Harakahdaily
SHAH ALAM, 18 Ogos: Pakar patalogi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mempertahankan pandangannya sebelum ini bahawa Teoh Beng Hock telah cedera sebelum jatuh dari Plaza Masalam dan bukannya membunuh diri..
Katanya, ia mungkin “seseorang meletakkan sesuatu di tengkuk Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu” sebelum beliau jatuh di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam yang menempatkan pejabat SPRM Selangor.
"Saya mempertahankan pendapat saya sebelum ini bahawa kecederaannya berlaku sebelum jatuh. Saya tidak dapat sahkan dia sedar atau tidak semasa jatuh," kata Pornthip dalam keterangannya.
Beliau bagaimanapun tidak mahu lagi memberikan peratusan pendapatnya itu sebagaimana sebelum ini tetapi berkata, "Saya yakin ia bukan bunuh diri."
Pornthip juga berkata, kecederaan pada dubur mangsa adalah akibat dari benda tumpul yang dimasukkan ke dalamnya.
Pornthip memberikan keterangan di mahkamah koroner dalam inkues kematian setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor itu.
Penegasan ini dibuat Pornthip selepas bedah siasat kedua ke atas mayat Teoh Beng Hock selepas membuat keterangan sebelum ini yang mendakwa 80 peratus kemungkinan mangsa itu dibunuh dan hanya 20 peratus kerana bunuh diri.
Ekoran kenyataan pertamanya, mayat Teoh Beng Hock telah dibedah siasat sekali lagi. Hari ini adalah sessi penerangan oleh Pornthip selepas bedah siasat kedua itu.
Beliau mula memberi keterangan di bangunan mahkamah Shah Alam, jam 9.30 pagi di hadapan koroner Azmil Munthapa Abas. Mahkamah hari ini penuh sesak.
Penyokong berkumpul
Kehadirannya pagi ini disambut dengan sokongan meriah dan tepukan bergemuruh oleh penyokong Teoh yang memenuhi bilik perbicaraan.
Mereka berkumpul bukan sahaja untuk menyokong Pornthip tetapi juga membantah Peguam Negara ekoran 'nota misteri' yang baru ditemui.
(Gambar: Pornthip tiba di bangunan mahkamah Shah Alam dengan diiringi peguam dan disambut dengan tepukan dari penyokongnya - gambar Themalaysianinsider)
Koroner memulakan prosiding pagin ini dengan memanggil Pornthip sebagai saksi pertamanya.
Pornthip mula disoal oleh peguam, Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor dengan meneliti laporannya dan beberapa gambar yang diambil pada bedah siasat kedua.
Pornthip berkata beliau mendapati pendarahan berlaku di tengkuk mangsa sehingga ke bahagian otot. Kesan ini , katanya lebih besar daripada kesan dicekik kerana cengkaman fizikal di bahagian leher adalah lebih kuat.
Menurut Pornthip berdasarkan 34-35 kes kajiannya hasil jatuh daripada tempat tinggi sebelum ini, tidak ada yang mempunyai kesan seumpama itu. Katanya, dia berpendapat tidak mungkin lebam adalah kerana impak akibat jatuh.
Pornthip juga menolak kemungkinan lebam itu disebabkan keretakan tulang belakang. Beliau mempertahankan pemerhatiannya sebelum ini bahawa ia adalah kecederaan sebelum jatuh yang dilakukan dengan “tekanan dan kuasa yang lebih besar” berbanding dicekik.
Merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.
Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.
Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu.
Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.
Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.
Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA