Selamat Datang
Sabtu, 14 Ogos 2010
PAS: Khir hina rakyat Selangor, sembunyi kelemahan Umno
August 13, 2010
KUALA LUMPUR, 13 Ogos — PAS Selangor membidas Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo kerana menghina rakyat negeri itu dengan mengatakan bahawa pengundi-pengundi Selangor telah tersalah pilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008.
Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata kenyataan bekas menteri itu seolah-olah memperlekehkan minda dan pemikiran rakyat negeri itu.
“Khir cuba menyembunyikan kelemahan Umno dan BN sedangkan hakikatnya rakyat menolak mereka pada pilihan raya umum lalu jelas kerana amalan kronisme, nepotisme dan rasuah yang berleluasa dan dirasai langsung kesannya oleh rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan merujuk kepada pandangan Dr Khir hari ini.
Kata Roslan, rakyat Selangor merupakan masyarakat yang terpelajar dan sentiasa terdedah dengan maklumat.
Pakatan Rakyat dianggotai PAS, DAP dan PKR mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dua tahun.
Kini Dr Khir merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri.
“Angkara kepincangan kepimpinan negeri di bawah Khir, maka rakyat bangkit menuntut perubahan pada ketika itu,” katanya.
“Bagaimana rakyat Selangor boleh tersilap sedangkan mereka menanggung dan melihat sendiri tindak-tanduk pincang kepimpinan Umno dan BN selama lebih 50 tahun dan terakhir di bawah Khir sebagai Menteri Besar,” kata Roslan.
Tegas beliau, di bawah kerajaan Pakatan Rakyat hari ini, Selangor melihat sebuah kerajaan yang memberikan penekanan kepada aspek pembelaan nasib dan kebajikan rakyat.
“Ketelusan pentadbiran yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan adalah sesuatu yang baru yang tidak pernah ditonjolkan di negeri ini sebelum ini.
“PAS Selangor yakin rakyat tidak akan serik, malah akan terus mempertahankan kerajaan ini kerana inilah kepimpinan yang dicari-cari dan diidamkan oleh mereka selama ini,” katanya.
Sehubungan itu kata beliau, program Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan yang cuba dicetuskan oleh Umno Selangor itu sekadar retorik kosong yang tidak akan mampu memadamkan dosa Umno Selangor khasnya kepada rakyat selama ini
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA