Selamat Datang
Selasa, 17 Ogos 2010
Curi pasir: PAC Pulau Pinang harap pusat beri kerjasama
Mohd Ali Hashim
GEORGETOWN, 17 Ogos: Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) Pulau Pinang telah menetapkan 18 Ogos untuk meneruskan inkuiri bagi siasatan isu kecurian pasir di Kampung Kenanga, Balik Pulau.
Menurut Pengerusi PAC Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo (gambar), keputusan mengenai perkara itu akan dbuat setelah mendapat makluman dari semua pihak yang terlibat.
Katanya lagi, sehingga ini lapan pihak berkaitan telah dipanggil bagi mendapat maklumat berhubung kegiatan mencuri pasir tersebut.
Antara mereka yang telah dipanggil ialah pemilik tanah bersebelahan, Muhammad Kaharuddin Ihsan Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad serta wakil dari Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya, Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang serta wakil kontraktor.
"Kita masih lagi menanti wakil dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Pegawai Kemajuan Negeri Pulau Pinang untuk hadir bagi melengkapkan siasatan berkenaan aktiviti kecurian pasir tersebut.
"Adalah menjadi harapan kita kedua-dua pihak dapat memberi kerjasama bagi memudahkan siasatan selewat-lewatnya akhir bulan ini," katanya.
Jagdeep yang juga Adun Datuk Keramat berharap mendapat kerjasama semua pihak bagi menyelesaikan inkuiri itu dengan segera.
Sebelum ini, PAC telah membuat lawatan ke atas tapak aktiviti kecurian pasir pada 26 Julai lalu bagi memastikan aktiviti tersebut memang berlaku.
Hasil dari lawatan yang turut dihadiri oleh Adun Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dan juga Adun Bayan Lepas, Syed Amerruddin Syed Ahmad didapati kesan kawah besar hasil aktiviti kecurian pasir memang wujud.
Ekoran itu, maka tanah milik Kerajaan Pusat yang diceroboh itu telah menjadi isu hangat apabila terdapat dakwaan yang menyalahkan kerajaan negeri kerana tidak memantau kejadian tersebut.
Pertikaian juga berlaku antara Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus apabila isu itu disensasikan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan meletakkan kesalahan di bahu kerajaan negeri.
Jagdeep juga berkata, skop siasatan dan inkuiri yang dijalankan oleh PAC adalah jauh berbeza daripada siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA