Selamat Datang
Jumaat, 20 Ogos 2010
Khutbah: Kenyataan politik sempit Zahid Hamidi
Mohd Sabri Said
GEORGETOWN, 20 Ogos: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak pernah mengeluarkan arahan supaya nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dimasukkan dalam doa khutbah ke dua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sepertimana yang dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim dalam sidang medianya di Tingkat 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) pagi tadi menafikan kenyataan Zahid itu dengan menganggap ia adalah kenyataan berbau politik yang sempit.
"Kerajaan negeri dan JHEAIPP menafikan perkara itu dan menggangap ia adalah mainan politik Datuk Zahid Hamidi untuk bangkitkan kemarahan masyarakat Islam," terangnya.
Abdul Malik berpendapat kejadian itu merupakan sabotaj untuk menggambarkan kerajaan negeri tidak prihatin terhadap khutbah yang disampaikan di masjid-masjid.
Ini katanya, setelah gagal memainkan isu kononya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menzalimi peniaga Melayu di Bazar Ramadhan, peniaga Melayu tepi jalan serta bermacam-macam usaha lagi.
Tindakan tersebut disyaki sengaja dicipta untuk melagakan kerajaan negeri dengan pihak istana sepertimana yang berlaku di Johor dalam isu kain rentang sehingga mencetuskan kemurkaan Sultan Johor.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung, Umno dan Barisan Nasional (BN) amat cemburu setelah dua tahun pentadbiran kerajaan negeri berjaya membuktikan perkembangan agama Islam mendapat keutamaan.
"Tidak lain mereka hanya cemburu bila kerajaan negeri berjaya membuktikan perkembangan Islam diberikan keutamaan, contohnya menambah peruntukan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Maipp) dari RM12.5 juta kepada RM24.3 juta iaitu pertambahan 100 peratus selain bantuan Ihya Ramadhan dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dihentikan semasa pemerintahan BN dulu," ujar beliau.
Umno, kata Malik, lebih tertekan apabila kerajaan negeri mengambil sikap terbuka untuk menganjurkan program Sambutan Bulan Al-Quran, anugerah kepada para huffaz sejak diperkenalkan pada tahun 2008 yang mana mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Keprihatian Ketua Menteri hadir dalam majlis agama Islam umpamanya program Ihya Ramadhan, Maulidur Rasul dan majlis berbuka puasa yang sedang rancak disusun di masjid-masjid sememangnya menggusarkan pihak tertentu kerana sebelum ini tidak pernah dilaksanakan oleh Ketua Menteri terdahulu.
Kepada rakyat, pesannya, jangan terpengaruh dengan usaha buruk itu jika mahukan Negeri Pulau Pinang terus maju.
"Kita yakin majoriti rakyat tidak mudah terpengaruh dengan cara sebegini. Cabaran yang diterima tidak akan membantut dan melemahkah usaha kita memartabatkan agama Islam di negeri ini," tambahnya.
Sementara itu, Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria ketika dihubungi menafikan apa yang diperkatakan oleh Zahid Hamidi dan menyifatkan semua itu merupakan kenyataan palsu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA