Selamat Datang

Isnin, 16 Ogos 2010

Dialog terakhir dengan Hassan Shukri



Subky Latif



KETIKA bersama Al-Marhum Ustaz Hassan Shukri bermotokar dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu bagi menghadiri Mukthamar PAS ke 56 pertengahan Jun lalu, banyak masalah parti – tentang kekuatan dan kelemahan - yang kami bincang.

Antara subjek yang kami bincang ialah peruntukan baru dalam perlembagaan PAS tentang mengadakan tiga orang penolong setiausaha agung.
Saya tanya al-Marhum, apa tujuan pindaan itu dibuat?

Jawabnya, bagi mengemas dan melicinkan pentadbiran parti.

Ustaz Hassan adalah pakar perlembagaan parti dan sejak saya mengenalinya 30 tahun lalu, beliaulah orang yang bertanggungjawab merangka sebarang pindaan.

Ketika PAS memutuskan bagi meletakkan PAS di bawah konsep kepimpinan ulama, PAS tidak memberikan sebarang cadangan bagaimana kepimpinan itu hendak diadakan.

Adakah Dewan Ulama yang menjadi satu sayap itu hendak diperkasakan dan meletakkan PAS di bawah Dewan Ulama?

Ustaz Hassan diminta menyediakan rangka kertas cadangan bagi meminta perlembagaan. Dia tidak mengambil masa yang lama bagi membuat cadangan. Yang lama ialah pihak pendaftaran pertubuhan hendak meluluskannya beberapa pindaan dibuat bagi memuaskan hati pihak pentadbiran.

Dewan Ulama sebagai satu sayap dikekalkan, tetapi dicadangkan pembentukan Majlis Syura Ulama yang mulanya terdiri dari 12 anggota diketuai oleh Mursyidul Am. Mursyidul Am itu adalah kalimah yang digunakan oleh gerakan Islam di negara-negara Arab bagi pemimpin utamanya.

Mursyidul Am dan Majlis Syura itu tidak dipilih terus dalam muktamar. Maka bagaimana pula perlembagaan hendak memberi kuasa yang begitu besar kepadanya dalam menentukan halatuju parti?

Jawatankuasa PAS Pusat yang dipilih oleh muktamar memilih empat ulama dari kalangannya dan Jawatankuasa Dewan Ulama Pusat yang dipilih melalui muktamarnya memilih pula empat orang dari kalangan mereka. Lapan orang ulama itu memilih pula empat orang ulama dari kalangan parti, maka terbentuklah anggota Majlis Syura itu. 12 anggota itu memilih pula Mursyidul Am dari kalangan mereka. Pendaftar Pertubuhan pun meluluskan pindaan itu.

Sekarang anggota Majlis Syura itu sudah bertambah. Sudah ada ulama mewakili Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Yang terakhir Ustaz Hassan merangka peruntukan mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS bagi anggota Bukan Islam.

Saya tanya Ustaz Hassan, bagaimana beliau dapat idea mengadakan tiga orang penolong setiausaha agung? Adakah ia diputuskan oleh parti?
Katanya, ia disebut dalam mesyuarat tertinggi parti.

Bagaimana dia boleh bersetuju?

Kerana mereka hendak begitu. Maka beliau pun merangka begitu dan parti meluluskannya. Saya kata kepadanya, walau pun ada pandangan begitu tetapi tidak perlu ia dimasukkan dalam perlembagaan.

Dalam pindaan yang dikemukakan oleh Ustaz Hassan itu bukan sekadar Setiausaha Agung ada tiga penolong, lain-lain setiausaha – perhubungan negeri, Dewan-Dewan dan kawasan - pun ada tiga penolong.


Kesemuanya menjadi ahli mesyuarat di peringkat masing-masing bersama setiausahanya sendiri.

Bagi saya, ia hanya meramaikan anggota jawatankuasa dan masing-masing bertanggungjawab kepada parti bersama setiausaha. Setiausaha sudah tidak menjadi pertanggungjawaban yang tunggal. Setiausaha Agung dan lain-lain setiausaha telah kurang kuasa dan mungkin juga telah kurang pertanggungjawabannya.

Saya kata kepadanya semasa dialog dalam perjalanan ke Kota Bharu itu, sepatutnya nasihatkan saja parti, tidak perlu pinda perlembagaan bagi memasukkan tiga penolong setiausaha itu.

Setiausaha Agung atau lain-lain setiausaha adalah ketua pentadbir dalam organisasi di bawahnya. Dia boleh menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara bagi mengadakan beberapa orang penolong setiauaha. Jangankan tiga orang, sepuluh orang atau dua puluh orang pun dia boleh lantik bagi membantunya mengemas dan melicinkan pentadbiran.

Ada kalanya Setiausaha Agung merasakan tidak perlu ramai, memadai dua saja, maka dia boleh adakan dua saja. Kalau perlu ramai, dia boleh tambah seramai yang difikirkannya. Tetapi yang duduk dalam mesyuarat bagi menjawab semua perkara yang dibangkitkan ialah Setiausaha Agung saja.

Biasanya Setiausaha Agung dibantu oleh seorang setiausaha kerja dan di bawah setiausaha kerja itu ada beberapa orang pembantu. Yang bertanggungjawab pada presiden dan kepada muktamar ialah seorang Setiausaha Agung saja.

Saya takut jadi macam maksud pepatah Inggeris, terlalu ramai tukang masak menyebabkan sup tak jadi sup.

Kalau sup tak jadi sup, sup jadi apa?

Dia mendengar pandangan saya.

Itulah pertukaran fikiran terakhir kami tentang parti yang kami sayangi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails