Selamat Datang
Jumaat, 9 Julai 2010
Tarikh sebenar Isra’ Mi’raj
Tarikh sebenar Isra’ Mi’raj
Melalui tinjauan sejarah waktu, tarikh terjadinya Isra’ Mi’raj masih diperdebatkan oleh para ulama. Bukan sahaja tarikh/harinya, berkenaan bulannya juga masih diperselisihkan sehingga kini. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah memaparkan perselisihan tersebut di dalam kitabnya, Fathul Bari, 7/203 sehingga mencapai lebih dari sepuluh pendapat. Ada yang berpendapat bahawa Isra’ Mi’raj terjadi pada bulan Ramadhan, Syawwal, Rabi’ul Awwal, Rabi’uts Tsani... dan seterusnya. (Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)
Al-Imam Ibnu Katsir rahimahullah menyebutkan dari az-Zuhri dan Urwah bahawa Isra’ Mi’raj berlaku setahun sebelum Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berhijrah ke Kota Madinah, iaitu bulan Rabi’ul Awwal. Ada pun pendapat as-Suddi, waktunya adalah enam belas bulan sebelum hijrah, iaitu bulan Dzulqa’edah. Al-Hafiz Abdul Ghani as-Surur al-Maqdisi membawakan dalam sirahnya hadis yang tidak sahih sanadnya tentang waktu Isra’ Mi’raj pada tanggal 27 Rejab. Dan sebahagian manusia menyangka bahawa Isra’ Mi’raj terjadi pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, iaitu malam Raghaib, iaitu yang ditunaikan pada waktu tersebut sebuah solat yang masyhur tetapi tidak ada asalnya. (al-Bidayah wan Nihayah, 3/108-109, Cet. Maktabah al-Ma’arif. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:
Tidak ada dalil yang sahih yang menetapkan bulan atau pun tarikhnya, seluruh nukilan tersebut munqathi’ (terputus) dan berbeza-beza. (Ibnul Qayyim, Za’adul Ma’ad, 1/57. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)
Imam Abu Syamah rahimahullah menegaskan:
Sebahagian tukang cerita menyebutkan bahawa Isra’ Mi’raj berlaku pada bulan Rejab. Perkara tersebut menurut ahli hadis merupakan kedustaan yang amat nyata. (al-Ba’its ‘ala Inkar Bida’ wal Hawadits, m/s. 171. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 63, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)
Kesimpulannya:
Tiada tarikh tertentu yang muktamad bila terjadinya Isra’ Mi’raj. Dengan itu, tarikh berlakunya Isra’ Mi’raj adalah tidak diketahui dan masih diperbahaskan.
Disunting dari http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com.html
Labels:
Israk mikraj
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA