Selamat Datang
Sabtu, 31 Julai 2010
Pengerusi PAC: Pusat wajar contohi Selangor
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 31 Julai: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu berharap kerajaan pusat dan negeri-negeri mencontohi kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dari kalangan pembangkang.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor baru-baru ini, kerajaan Selangor mengemukakan usul melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong dari Barisan Nasional (BN) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri.
"Ia satu rekod dan patut dicontohi untuk membantu pentadbiran kerajaan berjalan dengan telus, lebih berakauntabiliti dan bertanggungjawab," katanya.
Mohamad melihat tindakan itu sangat penting untuk memastikan perbelanjaan wang rakyat dapat dilakukan dengan pengawasan yang lebih realistik serta disegani.
"Kalau kita melihat di peringkat pusat misalnya, perlantikan 'kawan sendiri' dari Umno dan BN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC)hampir-hampir tidak membantu pengawasan yang disegani ke atas perbelanjaan wang rakyat.
"Rakyat semakin sakit hati melihat wang mereka dibelanjakan sesuka hati secara tidak bertanggungjawab, contohnya juak-juak parti yang memerintah keluar negeri beramai-ramai sehingga empat lima puluh orang tanpa sebab yang munasabah.
"Tindakan itu sama sekali tidak pro-rakyat," katanya.
Beliau melihat tindakan-tindakan yang hampir tidak bermanfaat untuk kepentingan rakyat itu hanya membazirkan wang mereka.
"Kalau pergi dengan duit sendiri, itu mereka punya fasal. Tetapi rombongan seperti itu diadakan dengan menggasak wang rakyat," katanya.
Mohamad juga berharap tindakan kerajaan Selangor itu dapat membantu pentadbiran yang lebih adil.
"Katakanlah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menerima akibat dari tindakan melantik pengerusi PAC dari kalangan pembangkang itu.
"Bagi saya secara peribadi, tidak mengapa Khalid terkorban kerana mempertahankan keadilan.
"Mempertahankan keadilan adalah jauh lebih baik dari semata-mata mempertahankan pemerintahan," katanya.
Tidak ada gunanya mempertahankan pemerintahan yang tidak ada keadilan, tegas beliau lagi.
"Jika kita mengkaji sejarah, Khalifah Umar Abdul Aziz memerintah dalam tempoh tak sampai tiga tahun.
"Tetapi, pencapaian dalam pemerintahannya menjadi sebutan, ikutan malah diratapi sehingga ke hari ini," kata Mohamad
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA