Selamat Datang
Selasa, 27 Julai 2010
SPRM mesti di bawah Parlimen
http://idrisahmad.wordpress.com
PAS berpendapat bahawa, imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh diperbaiki dengan badan ini mesti berada di bawah Parlimen.
Sekarang imej SPRM tidak dihormati kerana ia menampakkan orang suruhan kepada parti pemerintah, bukan memerangi rasuah sebagai musuh negara. Inilah persepsi umum masyarakat terhadap SPRM.
Bernama melaporkan, Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM Tan Sri Hadenan Jalil, berkata perbagai perubahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk mengambil pendekatan lebih telus dan profesional dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadapnya.
Menuirut beliau, suruhanjaya ini perlu meningkatkan lagi imejnya sebagai sebuah institusi yang bukan saja dihormati malah digeruni
PAS bersimpati dengan kesungguhan pegawai SPRM yang bersungguh-sungguh melakukan penyiasatan yang dilaporkan kepada mereka. Mereka terpaksa meninggalkan keluarga untuk melakukan siasatan.
Malangnya kuasa pendakwaan masih berada di tangan Peguam Negara. Manakala Peguam negara pula terikat dengan arahan yang lebih atas. Akhirnya kertas siasatan yang dibuat oleh SPRM berlalu begitu sahaja, akibatnya imej SPRM yang tercemar.
Pas tetap menegaskan, SPRM mesti menjadi satu badan yang wibawa seperti zaman almarhum Tan Sri Harun Hashim yang mengetuai Biro Pencegah Rasuah (BPR). Waktu itu BPR begitu wibawa dan digeruni, bukan sahaja oleh pegawai malahan oleh menteri.
Almarhum pernah menceritakan bagaimana almarhum Tunku Abdul Rahman tidak campur tangan urusan penyiasatan oleh Biro Pencegah Rasuah walaupun melibatkan menteri atau orang kenamaan. Malahan Tuanku memesan kalau hendak tangkap orang besar biarlah beliau tidak ada di dalam negara, supaya anak isteri mereka tidak datang minta tolong kepadanya.
PAS tidak mahu melihat persepsi orang awam bahawa SPRM hanya menyiasat kes bilis, sedangkann ikan jerung terbolos. Rujukan kepada kes Beng Hock, melambangkan bagaimana gambaran masyarakat terhadap SPRM adalah pelindung kepada pemimpin yang menjadi penguasa.
Rakyat masih tertanya-tanya bagaimana fail Rafidah Aziz yang sudah selesai disiasat, tetapi tidak pula kedengaran di bawa ke muka pengadilan.
Kewibawan SPRM tidak akan dikembalikan kalau sekadar dijenama semula nama daripada Badan Pencegah Rasuah.Nama tidak penting sangat, tetapi yang penting ialah pengisiannya dan pelaksanaanya.
SPRM mesti menjadi badan yang benar-benar wibawa dan berikan kepadanya kuasaa untuk mendakwa dan tidak perlu berada di bawah dagu orang lain kalau ia hendak menjadi badan yang disegani dan digeruni.
Pakatan Rakyat berazam sekira diberi mandat maka SPRM akan diletakkan di bawah Parlimen, dengan harapan, rasuah sebagai musuh negara dapat diperangi.
Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS.
Labels:
ketua penerangan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA