Selamat Datang
Sabtu, 17 Julai 2010
Masih tak peka atau pekak...
NGO Islam protes persidangan FBI di KL
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 16, 2010
KUALA LUMPUR, 16 Julai — Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membantah penganjuran Persidangan FBI National Academy Associates Asia-Pacific Ke-13 di ibu negara mulai Ahad ini.
Setiausaha Agungnya, Azmi Abdul Hamid berkata kerajaan harus membatalkan penganjuran persidangan enam hari itu atas alasan FBI atau Biro Siasatan Persekutuan merupakan cabang militan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan hegemoni ke atas negara lain.
“Adalah amat memalukan pegawai kanan polis kita bekerjasama dengan polis AS yang menyeksa umat Islam di AS, membunuh orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan dan Iraq, dan mengintip umat Islam yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, National Academy melatih pegawai kanan polis dari AS serta mereka dari luar Amerika, termasuk dari Malaysia, Indonesia, Mesir, Arab Saudi dan Israel.
“Walaupun latihannya terang-terang untuk memajukan kepakaran penguatkuasaan undang-undang, ia juga menyampaikan maklumat kepada pelatih persepsi Amerika berhubung isu global.
“Contohnya pelatih akan diasak dengan kepentingan dan keperluan untuk memerangi keganasan global. Pergerakan Pembebasan Kebangsaan seperti Hizbullah, Hamas dan penentangan terhadap penduduk Amerika di Afghanistan dikategorikan sebagai pengganas.
“Menurut laman sesawang FBI, pelatih akan dibawa untuk mengunjungi Muzium Holocaust di Washington sebagai ‘komponen moral dan etika untuk latihan. Sudah tentu agenda tersembunyi ini adalah untuk melahirkan simpati untuk Zionis dengan mengesahkan penubuhan Israel di tanah Palestindan untuk mewajarkan dasar pro-Israel oleh Amerika,” katanya.
Beliau berkata kunjungan itu dilakukan dengan kerjasama Anti-Defamation League, pertubuhan Zionis yang menganggap kritikan terhadap pendudukan oleh Israel dan kekejamannya sebagai anti-Semitik.
“Latihan pegawai kanan polis di National Academy merupakan sebahagian daripada dasar Amerika untuk mempengaruhi mereka yang berada dalam kedudukan penting di dalam institusi penting seperti polis, tentera, kehakiman, parlimen, NGO yang akan menjaga kepentingan AS.
“Di Iraq dan Afghanistan FBI telah melatih beratus pegawai yang akan memastikan negara itu terus menjadi pengikut kepada Amerika apabila tenteranya meninggalkan negara itu,” katanya.
Mohd Azmi berkata tumpuan AS kini adalah Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai dan dijangka memainkan peranan penting dalam hal ehwal antarabangsa dalam masa terdekat.
“Kami merasa amat terkejut memandangkan kesengsaraan dan penderitaan saudara-saudara kita tidak menyentuh perasaan pegawai kanan polis kita. Bagaimana mereka boleh bekerjasama dan meraikannya dengan mereka yang menimbulkan kekacauan di dunia Islam?
“Justeru kami menggesa kerajaan menghentikan segera persidangan tersebut dan tidak menghantar pegawai polis atau tentera untuk mendapat latihan di AS.
“Sebagai ganti mereka boleh dilatih di negara lain seperti India, Sweden, Iran dan lain-lain negara yang tidak mempunyai agenda hegemoni,” tegasnya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA