Selamat Datang

Khamis, 29 Julai 2010

Rayuan Kes Dun Kota Siputeh Diketahui Hari Ini


SELEPAS LEBIH 7 BULAN DIPERAM , KITA LIHAT SIAPA YANG KENA
Rayuan Kes Dun Kota Siputeh Diketahui Hari Ini

Tarikh pendengaran rayuan berhubung pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya telah menerima notis dari Mahkamah Rayuan mengenai pengurusan kes tersebut dan akan menghantar dua wakil bagi pihak kerajaan negeri.

"Kita akan menghantar penasihat undang-undang mewakili kerajaan Kedah sebagai pemerhati bersama-sama peguam kerajaan negeri ke Mahkamah Rayuan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini.

Pada 24 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membenarkan penangguhan interim (sementara) yang dipohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh sementara menunggu rayuan.


SPR mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, seterusnya mengundang satu lagi pilihan raya kecil berikutan kegagalan Ahli DUN kawasan tersebut, Datuk Abu Hasan Sarif menghadiri sidang Dewan pada 19 April dan 9 Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, Azizan berkata, beliau mahu pilihan raya kecil diadakan secepat mungkin di kerusi Kota Siputeh kerana mendakwa ia akan dapat menyelesaikan banyak masalah.

Katanya, ia antara lain bagi memastikan rakyat di kawasan DUN itu mempunyai wakil mereka selepas 'tergantung' tanpa wakil rakyat untuk satu jangka masa yang agak lama.

Malah, katanya, pilihan raya kecil itu juga boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk melihat sejauh mana sokongan rakyat terhadap pemerintahan pakatan pembangkang yang diterajui Pas di negeri ini.

"Saya mahu ia diadakan cepat sebab saya rasa saya cukup kuat sekarang ini untuk menang pilihan raya kecil Kota Siputeh. Kami mahu tambah kerusi Pas di dalam Dewan,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, pilihan raya umum wajar berjalan serentak di seluruh negara bagi memudahkan urusan pengendaliannya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada SPR untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails