Selamat Datang

Rabu, 28 Julai 2010

Usahawan China sertai ekspo Cheng Ho di Kelantan



Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU, 28 Julai: Nama Laksamana Cheng Ho, seorang pelayar Cina Muslim dari China yang berjaya mengeliling dunia akan diabadikan sempena ekspo hub halal yang akan diadakan di sini pada Oktober depan.

Pameran Cheng Ho akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV selama lima hari bermula 5 Oktober.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, program itu diadakan sempena ulangtahun ke-20 pentadbiran kerajaan PAS Kelantan.

”Pelbagai lapisan masyarakat termasuk pedagang dari China akan memberi sokongan menjadikan Kelantan sebagai hub halal.

"Kita menggunakan nama Laksamana Cheng Ho sebagai nama ekspo tersebut kerana Cheng Ho merupakan seorang laksamana yang menjadi ikon bagi rakyat China.

”Pahlawan itu berjaya merapatkan hubungan persaudaraan antara dua negara Malaysia - China," kata beliau selepas meraikan wakil-wakil pedagang dan kerajaan Wilayah Harbin China di sebuah restoran di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, ekspo tersebut akan disertai pelbagai sektor yang akan dibawa khas dari China.

Selain itu ekspo terbabit juga turut disertai pengusaha-pengusaha tempatan.

Husam juga berkata, hasil kunjungan beliau dan rombongan Kelantan ke China baru-baru ini berjaya merapatkan lagi hubungan kerajaan negeri dan beberapa wilayah di China.

Rombongan pedagang dari Harbin tersebut diketuai Timbalan Presidennya, Wang Bin Sha serta beberapa usahawan termasuk dari syarikat Harbin Haixun Science & Technology Co.Ltd, Madam Gua Yuhong.

Turut serta wakil Beijing Duolud Machienery Equeptment Manufacturing Co. Ltd dan Beijing Glorius Land Technology. Mereka mengunjungi Kelantan dalam usaha mengenal pasti peluang pelaburan di negeri ini.

Baru-baru ini ketika lawatan ke Aceh, Indonesia anggota Exco terbabit turut menjemput Gabenor wilayah berkenaan menghadiri ekspo Cheng Ho dan pelancaran Dinar Dirham Kelantan pada bulan depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails