RINDU INSAN MERINDUI
“IBU, engkaulah ratu hatiku...”
Bait terakhir sebuah lagu popular suatu ketika dahulu cukup menggambarkan betapa insan yang mengandung, melahir, menyusu, dan membesarkan ini dicintai oleh setiap insan bernyawa... jangan kata manusia yang ada akal hatta haiwan pun tahu berduka bila meratapi perginya ibu buat selama-lamanya.
Bagaimana pula kasih seorang ibu kepada anak, pasti berlipat kali ganda lagi. Kasih insan ini kepada anak tidak perlu terungkap melalui kata-kata, bukan pada harapan budi dibalas budi, tapi pada sebuah perhatian, tanggungjawab, dan amanah yang berjaya dipikul hingga si anak mampu mengenal huruf, kenal alam, kenal ragam manusia, dan kenal Pencipta Alam.
Dia syurga kita di dunia lagi..
Kalian masih mampu mendengar suara ibu hingga kini, masih bisa bergurau senda, masih boleh meluah rasa.. begitu juga hati nurani saya, kerana dia adalah mutiara diciptakan untuk melahirkan permata bukan kaca yang penuh kepalsuan. Nilainya ada pada perhatian, tanggungjawab, dan amanah tadi.
Inilah cinta tanpa syarat seorang ibu.
Berapa ramai hari ini ingat ibu, ingat jasa ibu, ingat pemberian ibu. Berapa kerat sangat fikir semua ini, kita mampu membilang dengan jari... tapi kita mungkin jenuh menghitung terlalu ramai orang tua di pusat penjagaan Rumah Orang Tua. Rumah orang tua dah bertukar jadi nursery era moden kerana minda moden seorang anak. Aduh... menitis air mata orang tua, apatah lagi seorang ibu yang berjiwa bersih mengenang kembali saat dia pernah berjaga malam demi keselesaan anak tidur, waima nyamuk tetap sinonim sebagai musuh utamanya di kala malam melabuh senda.
Benarlah juga kata-kata para hukama’; “SEORANG ibu bisa menjaga sepuluh orang anak, namum belum tentu SEPULUH orang anak tadi mampu menjaga seorang ibu”
Mungkin ada di kalangan sahabat di luar sana mengalami situasi berbeda-beda;
“Ustaz.. mak saya seorang panas baran”
“Risau saya melihat anak-anak menjadi mangsa dera si ibu, kalau ikutkan mahu saya buat laporan polis” luah seorang kakak berjiwa ‘ibu’ geram melihat gelagat sesetengah wanita berstatus ibu.
Benar.. saya tidak dapat menidakkan, tapi kita juga kena tahu seburuk mana kelakuan seorang ibu dia tetap kasih kepada anaknya, kerana susah ‘bangat’ dia melahirkan hingga bertarung nyawa agar kita selamat hadir ke dunia, destinasi wajib setiap muslim. Buruk kelakuan mereka tidak bererti mereka jahat.. buruk dan jahat, dua istilah jauh pengertian maknawi.
Namun ramai mana daripada kita dapat bertahan… lebih-lebih lagi sekiranya usia ibu mula melewati usia emas. Sudah pasti kitaran hidup kembali kepada mula… apabila ibu mulai tua, urat mula sengal, anggota mulai kebas, maka perasaannya juga terjejas. Disebabkan perasaan itulah maka si ibu mula bergantung-harap kepada anak-anak, memerlukan perhatian, tanggungjawab, dan kasih sayang seorang anak seperti mana mereka dahulu lakukan.
Bolehkah kita terus bersabar bila ada kekadang si ibu acap kali bertanya benda yang sama, buat-buat tak dengar, minta dibelai, diurut-urut dan picit-picit, bermanja nak ini dan itu? Tahukah kalian kenapa, sebab ibu inginkan perhatian kita dari terus leka dengan kerja berlambak di pejabat, agar kita tahu dia amat memerlukan kita. Jangan tinggal jejak buruk di nota hati kanak-kanak, tidak mustahil anak sendiri akan memperbodohkan kelakuan sama bila tiba usia tua kita.
Dia masih ibu kalian, kita.
DIA IBU-KU
Bila anak bersembang dengan ibu, biasalah si anak tidak pernah menang cakap. Teringat pula saya setiap kali berbuah bersama ibu on-air;
“Ibu teringin sangat nak makan lauk masakan abang.. tolong ibu ke pasar minggu.. menderai kereta bersama ke tempat kuliah pengajian, BBQ di pantai seperti tiga tahu dulu sebelum abang berangkat ke Mesir” suara ibu sedikit sebak, kata-katanya tersekat-sekat.
Setiap kali terlintas di minda kecil, saya pula bermonolog ringkas;
“Apakah patut aku lunaskan ‘harapan’ ibu-ku itu, walaupun dia tidak pernah mengukit paksa”
Sudah 23 tahun saya kenal hati budi seorang insan bernama ibu. Sudah 23 tahun juga, dia masih membelai, memberi, dan menyuap kasih sayang tanpa paksa kepada saya, biarpun saya sekarang hidup berjauhan daripadanya. Kasih beliau kepada kami bukan material terpacak di depan mata, bukan jua kerana dia juga pernah menjadi seorang anak dan warisan turun menurun, tapi kerana Allah Taala, bersalut sebuah amanah dan tanggungjawab.
Bukti?
Tanggungjawab pula tadi ialah berupa tarbiyyah berpanjangan tanpa kenal erti penat, jauh sekali untuk mengeluh. Sudi menyediakan kami pakaian yang elok-elok, makan makanan yang seimbang dan sedap.. ibu dapat tahan dengan perangai kami yang terlampau nakal hingga sekarang sentiasa memberi nasihat dengan lemah lembut agar kami jadi seperti apa dia mahukan, iaitu anak soleh dan solehah.
Ibu seorang lemah lembut, tidak meninggikan suara walaupun dia patut lakukan. Dia tahu marah bukan jalan penyelesaian, marah kepada anak kecil pasti akan membantut tumbesaran minda. Dia tidak pernah lupa untuk mengajikan kami di rumah bilal, Ustaz Abdul Latif supaya kenal alif, ba’, ta’ selepas saya menginjak usia lima tahun... saya tahu ibu tabah membesarkan kami, di balik mata ibu menceritakan segala-galanya kepada kami, ibu tetap sahaja tersenyum melayan kerenah kami... cuba tersenyum tapi kelopak mata ibu menghuraikan semuanya.
Kuat ibu membanting tulang empat kerat mencari sesuap nasi buat kami. Dulu abah terpaksa berada berjauhan daripada kami, jauh merantau mencari sumber rezeki... maka di saat ini, ibu begitu pantas memujuk kami agar tidak kesunyian, dialah ibu dan bapa memenuhi keperluan dan kehendak kami.
Terima kasih Tuhan di atas kurnian nikmat-Mu ini.
KASIH TERSIMPAN
Ibu mambawa kita sembilan bulan ke sana sini. Kita menendang, melompat, kita minta macam-macam takut kempunan. Apakah setelah sembilan tahun dibelai sehingga baligh, cukup dengan sejambak dan sebait kata-kata apa sahaja?
Pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. segala kesusahan sewaktu hamil dan penderitaan serta kesakitan yang dialami disaat melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar digambarkan, tetapi dengan tiba-tiba boleh bertukar dengan kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anaknya sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini.
Maka apakah memadai jasa dan pengorbanan seorang ibu itu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu?
Sudah tentu tidak, kerana sikap seumpama ini tidak mengambarkan kasih sayang sepanjang hayat, ia hanya sebagai budaya sekali setahun. Walau bagaimanapun hari ibu yang disambut pada 10hb. Mei setiap tahun, tidaklah bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang bermakna.
Hari-hari, adalah hari untuk ibu. Dialah ibuku, dia juga ibu kalian.
Kini rinduku kepada insan merindui. Moga dipanjangkan usia agar bisa bertentangan mata kasih di birai mahligai rindu yang terpedam lama sudah.
Assalamualaikum Azhabrar
BalasPadamSalam ziarah
terima kasih info yg berfaedah
Wassalam