Guru adalah ahli ilmu yang menyampai dan mengembang serta menjayakan ilmu dalam masyarakat. Ia merangkumi ilmu pengetahuan mengenai Islam atau pengetahuan umum dengan ciri serta tugas yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya dalam masyarakat. Mereka boleh menjalankan tugas dengan berkesan untuk mewujudkan umat yang beriman, berilmu dan beramal.
Dalam Islam, dilihat dari segi sejarah dan ajarannya, ada beberapa istilah yang digunakan mengenai guru. Antaranya ialah mu'allim, murabbi, mu'addib dan mudarris.
Mu'allim ialah guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan ilmu dalam diri manusia (ta'lim). Dalam al-Quran, proses ta'lim ini dimulakan sendiri oleh Allah dalam ayat yang bermaksud: Dan Allah ajarkan kepada Adam (hakikat) segala nama.(Q.2.31) Kemuliaan Nabi Adam dengan mendapat taklim daripada Allah. Dengan memiliki ilmu menjadikannya sebagai makhluk paling mulia. Allah memerintahkan malaikat sujud memuliakannya, bukan sujud ibadat. Guru sebagai mu'allim, mengajar dan mengembangkan ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat - satu usaha suci dan mulia. Dengan itu, kemuliaan kedudukan guru dalam sejarah dan masyarakat Islam terjamin. Sikap memuliakan guru dan ilmu pengetahuan oleh umat Islam mendapat sanjungan tinggi daripada Franz Rosenthal dalam bukunya Knowledge Triumphant. Beliau berpendapat sukar untuk dicari peradaban seperti Islam yang memuliakan ilmu pengetahuan dan guru. Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun mereka bukan berstatus ulama.
Guru dipanggil juga sebagai murabbi, iaitu guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik. Apa yang berlaku ialah proses peningkatan dalam diri murid. Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi - apa lagi murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Alangkah beruntung dan bahagianya masyarakat dengan adanya guru yang bukan sahaja menyampaikan mata pelajaran kepada murid, tetapi turut meningkatkan peribadi dan kemampuan mereka.
Guru yang berfungsi sebagai murabbi dan penuh iltizam diperlukan oleh masyarakat dan umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi Islam. Peradaban guru sedemikian sifatnya mampu menyelesaikan banyak masalah.
Dalam Islam, guru juga dipanggil mursyid, iaitu guru yang membimbing, menentukan kehidupan serta nilai yang betul. Ini memang tepat dengan tujuan dan matlamat pendidikan sebagai proses menyampaikan kepada generasi muda, apa yang benar, baik dan unggul yang pernah diketahui, difahami, diyakini dan diamalkan dalam peradaban manusia, khususnya Islam. Ini termasuk setiap yang positif yang boleh dimanfaatkan daripada peradaban lain, termasuk barat. Mana-mana yang negatif pula perlu dijauhkan.
Guru sebagai pendidik, adalah ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan yang betul dalam pandangan hidup, hidup kerohanian, akhlak dan kepakaran dalam bidang ilmu yang berfaedah. Dengan ini, dikatakan bahawa pendidikan atau irsyad itu berjalan seiring dengan matlamatnya.
Dalam Islam guru juga dipanggil muaddib, iaitu guru yang menjayakan adab. Yang dimaksudkan dengan adab ialah semua jenis gerak-geri, sikap dan perbuatan serta nilai yang betul dan 'manis' dalam hubungan dengan semua pihak, bermula dengan Tuhan, orang tua, ibu, bapa, guru, rakan dan seterusnya. Inilah konsep adab yang menyeluruh dan luas yang disebutkan oleh Nabi Muhammad saw. dalam hadis yang lebih kurang bermaksud: Tuhanku menjayakan pendidikan adab dalam diriku dan Dia sempurnakan pendidikan adab itu.
Adab dalam pengertian yang menyeluruh dan mendalam inilah yang dimaksudkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya Adabud-Dunya wad Din (Adab hidup dunia dan hidup beragama). Kita boleh lihat bagaimana pendidikan tidak terpisah daripada adab atau akhlak yang tinggi. Pendidikan yang dijayakan oleh guru yang beradab kepada murid adalah pendidikan yang unggul. Ia memang diharapkan melihat kepada pelbagai masalah akhlak dan moral yang dihadapi sekarang.
Kepentingan akhlak diberi penekanan yang wajar oleh Islam. Sebab itu Nabi Muhammad saw. bersabda lebih kurang maksudnya: Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Dan Allah memuji Nabi Muhammad saw. dengan menyebut peribadinya yang agung dalam ayat yang kira-kira bernaksud: Sesungguhnya tuan hamba mempunyai peribadi yang agung (Q.4)
Kita boleh bersetuju dengan pemikir barat mengenai peradaban dan moral. Albert Schweitzer dalam bukunya Civilization and Ethics menyebut, kualiti sesuatu peradaban itu terletak pada keberadaban tenaga moral dalam peradaban itu. Adanya guru yang beradab dan memberi pendidikan adab kepada murid selain mendidik ilmu, adalah penyelesai banyak masalah yang dihadapi masyarakat.
Akhirnya guru digelar dalam Islam sebagai mudarris, iaitu mereka yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar. Guru sebagai mu'allim, murabbi, muaddib dan mursyid adalah kualiti yang perlu diusahakan bersama supaya ia muncul di kalangan kita dan dengan itu banyak masalah akan selesai.
Dalam peradaban Islam, ulama dan guru yang mempunyai fungsi menjayakan budaya ilmu dalam Islam berpandukan keimanan dan ketaqwaan. Mereka juga menjayakan kemahiran untuk umat, dengan itu golongan yang diajar menjadi umat yang unggul, menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Mereka menjadi ustazaul'alam. Dengan ini manusia mendapat hasanah di dunia ini dan hasanah di akhirat.
Tugas utama bagi guru ialah membentuk pandangan hidup yang betul dalam bentuk akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah. Pandangan hidup ini mengajar manusia hubungan yang betul dan tepat sesama manusia, Tuhan, alam dan kehidupan serta pengabdian manusia kepada Tuhan. Manusia menyempurnakan hidupnya di dunia demi untuk mencapai kebaikan dan kesempurnaan dalam alam yang kekal abadi. Masalah pandangan hidup dan akidah adalah masalah pokok.
Pandangan hidup inilah yang mendominasi manusia Nusantara sejak dulu hingga sekarang. Pandangan ini perlu diperjelas dan dijayakan. Dengan itu manusia Muslim menjadi orang yang mempunyai pegangan yang betul dan tepat mengenai Tuhan, Nabi dan Rasul, sahabat, alam malaikat, wahyu, alam akhirat serta qada dan qadar. Mereka terelak daripada kepalsuan rohaniah dan akliah yang datang daripada pegangan sesat dalam bentuk klasik atau moden.
Tugas guru juga ialah membantu dan mendidik manusia menjayakan hidup rohani yang sebenarnya supaya kehausan mereka dalam bidang ini dipenuhi dan mereka menjadi orang yang sihat dari segi perjalanan rohaninya dan tidak terpedaya dengan amalan rohani atau ajaran pseudospiritual yang pelbagai ragaam.
Guru juga bertanggungjawab mendidik murid mengenal dan menghayati nilai kebenaran, kebaikan, keindahan dan keadilan dengan spektrumnya yang seimbang dan benar dalam konteks memandang insan sebagai khalifah Allah dan hambaNya.
Nilai kebenaran, keadilan, keindahan, amanah, keberanian, perjuangan, ihsan, itqan dan seterusnya, menjadi ciri hidup yang unggul dan penuh bererti, diterapkan dalam peribadi, keluarga dan masyarakat serta peradaban.
Guru juga bertanggungjawab membentuk hidup berdisiplin berdasarkan syariat Ilahi serta aturan berdasarkan syariat itu. Dengan ini, disiplin menyeluruh wujud dalam peribadi, keluarga, masyarakat dan budaya. Tugas guru juga untuk mendidik murid mempunyai kemahiran dan ketrampilan dalam bidang yang diperlukan. Dengan itu mereka boleh berdikari dalam hidup. Mereka adalah harta kepakaran bagi umat Islam. Ini bersesuaian dengan maksud ayat al-Quran: Dan bersiap sedialah kamu bagi menghadapi mereka (musuh). (al-Anfal.61)
Guru juga bertanggungjawab, serta pihak lain dalam masyarakat, untuk membentuk budaya ilmu dalam masyarakat. Dengan itu umat Islam akan menjadi umat yang memimpin manusia dalam akidah, ilmu, kemahiran dan budaya. Dengan kesungguhan umat dalam usaha yang diredhai Allah, cita-cita ini akan tercapai. Bagaimanapun, guru perlu memberi kesedaran kepada murid supaya mereka tidak tenggelam dalam slogan hidup mewah dan berfikiran mudah. Mereka hanya mementingkan barangan mahal tetapi fikiran mereka terhad kepada perkara-perkara yang bersahaja, tanpa mempedulikan cita-cita rohaniah, akliah dan moral tinggi.
Ada beberapa sifat yang perlu dimiliki demi melahirkan guru yang boleh berfungsi dengan baik: Matlamat dan tujuan terakhir ialah berusaha untuk mendapat keredhaan Allah dalam hidup keduniaan, berbuat jasa dan bakti kepada manusia untuk mencari keredhaan Allah. Sentiasa ingat kepada matlamat dan tujuan dalam hidup sama ada dari segi jangka panjang atau pendek.
Manusia adalah makhluk bertanggungjawab. Bebanan tanggungjawab dan amanah ini jelas daripada ayat yang kira-kira bermaksud: Sesungguhnya Kami bentangkan amanah kepada langit, bumi dan bukit-bukau, tetapi mereka tidak mahu memikulnya kerana takut kepadaNya dan manusia memikulnya. Ia zalim lagi jahil (apabila menyalahgunakan amanah). (al-Ahzab.72) Terikatnya manusia dengan tanggungjawab dijelaskan dalam ayat yang kira-kira bermaksud: Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati dipertanggungjawabkan semuanya. (al-Israk.36) Maka hendaklah sifat bertanggungjawab ini dibentuk dalam diri, sesuai dengan kedudukan manusia sebagai khalifah Allah dan hambaNya.
Sifat hidup dan beramal serta berusaha mengikut aturan dan ketertiban, dan kepentingan hidup mengikut tertib dan aturan berdasarkan ajaran Tuhan dan syariatnya itu, menjadi syarat dan rukun dalam ibadat dan ia sesuatu yang amat dituntut.
Guru mempunyai sifat berkerjasama dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas serta mesra dalam semua perkara yang baik dan benar, bukannya dalam perkara yang palsu dan salah. Sifat berkerjasama ini adalah satu daripada ciri-ciri orang yang berjaya. Dalam al-Quran ada ayat yang lebih kurang maksudnya: Berkerjasamalah kamu antara satu dengan lain dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu berkerjasama dalam perkara dosa dan perkelahian. (al-Maidah.3)
Dalam alam tabie mesti wujud kerjasama yang mesra dalam bentuk symbiosis. Maka kelihatanlah panorama alam yang harmonis dan indah, penuh dengan faedah dan manfaat. Sifat suka meneliti dan menghisab diri untuk pencapaian yang lebih tinggi perlu ada pada guru, bagi membolehkan mereka menjadi guru yang memberangsangkan.
Dari segi ilmu, mereka hendaklah meneliti, melihat bagaimana ilmu boleh ditingkatkan dengan pembacaan dan penelitian, samada ilmu agama atau kemahiran diri. Pembacaan yang luas dan berguna perlu dilakukan.
Dari segi rohaniah dan akhlak, guru perlu menghitung dirinya mengenai keyakinan dan amalannya serta hubungannya dengan Allah. Demikian juga akhlaknya yang sentiasa perlu ditingkatkan, samada dengan pembacaan atau taubat dan penyesalan terhadap kesilapannya.
Dari segi fizikal dan kemasyarakatan, ia perlu meneliti bagaimana kesihatan badannya yang perlu diberi perhatian supaya tidak merana dan gagal dalam melaksanakan tugas. Sifat meneliti diri demi untuk mencapai tahap yang lebih baik dalam semua kepakaran, apa lagi hubungan dengan Tuhan, adalah sifat yang amat penting. Dengan itu dia akan muncul sebagai guru yang utama.
Sudah tentu guru perlu sedar kemuliaan tugas sebagai guru dan kedudukan mereka, sebagaimana yang diajar dalam sejarah dan ajaran Islam. Dengan itu dia perlu menjaga kemuliaannya. Masyarakat pula perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk memuliakan guru dan menyedarkan guru mengenai kemuliaan mereka. Antaranya:
- Menyebarluaskan maklumat dan kesedaran mengenai kemuliaan guru dan tugasnya dalam masyarakat melalui majlis ilmu, perbincangan, forum dan seterusnya anjuran persatuan ibubapa dan guru (PIBG) dan sebagainya.
- Memberi layanan baik dan beradab kepada masyarakat terhadap guru dengan mengenang jasa mereka dalam pendidikan dan dengan mengajar anak-anak supaya memuliakan guru, samada guru yang mengajarkan ilmu syariat atau ilmu yang berfaedah. Selain ilmu syarak, ilmu umum yang berguna menjadi 'jalan' yang boleh membawa ke syurga.
- Sejarah ulama dan cendikiwan serta guru dalam peradaban Islam hendaklah disebarkan dalam media samada media elektronik atau cetak.
- Penghormatan kepada guru eloklah diberikan dalam bentuk kurnia yang bernilai dan berharga, bukan sahaja kepada mereka yang berjasa dalam sukan dan sebagainya.
- Penerbitan buku dan risalah yang membicarakan ketokohan guru dan kemuliaan mereka dalam sejarah Islam, sejarah rantau ini dan sejarah dunia eloklah dijayakan. Dengan itu jasa guru dan kehormatan mereka disedari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA