Selamat Datang

Isnin, 31 Mei 2010

HUKUM WANITA BERPOLITIK DALAM ISLAM



Oleh :
Fadhilatul Imam Al-Allamah Prof. Dr. Ali Jumuah As-Syafie
Mufti Republik Arab Mesir


Terjemahan:
Khairul Anuar Bin Ismail


Seluruh ulama Usul, tafsir, fekah dan hadis telah berijma' bahawa tuntutan wahyu yang bersifat taklif (bebanan dan tanggungjawab yang terdapat dalam Al-Quran) menyamakan hal keadaan wanita dan lelaki. Manakala pendapat yang paling rajih (kuat) di kalangan mereka adalah bahawa tuntutan taklif yang ditujukan kepada lelaki pada masa yang sama ditujukan juga kepada wanita.

Begitu juga dalam segala hukum, taklifan dan juga pengajaran (dalam Al-Quran) selagi mana tiada perkara yang mengikat (qaid) nas yang ditujukan itu dengan perkara yang berkaitan dengan ciri-ciri kejadian lelaki atau wanita dan selagi mana tidak dijelaskan tuntutan wahyu tersebut khusus untuk lelaki bukannya wanita atau sebaliknya.

Moga-moga Ummu Salamah menjadi contoh yang jelas untuk memahami perkara ini. Maka dengan ini, satu hadis telah pun diriwayatkan daripada Abdullah Bin Rafi' R.A bahawa beliau telah berkata:

كانت أم سلمة تحدث أنها سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول على المنبر وهي تمتشط‏:‏ أيها الناس فقالت للجارية‏:‏ استأخري عني قالت‏:‏ إنما دعا الرجال ولم يدع النساء‏.‏ فقالت‏:‏ إني من الناس



"Adalah Ummu salamah berkata bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad s.a.w bersabda di atas minbar semasa beliau sedang menyikat rambut:"Wahai Manusia" Maka berkata Ummu Salamah kepada seorang hamba perempuan:"Jauhkan sedikit dirimu daripadaku" beliau berkata : "Sesungguhnya Nabi menyeru kaum lelaki bukannya wanita" Lalu berkata hamba tersebut:" Sesungguhnya aku juga daripada kalangan manusia."

(Riwayat Muslim dalam sahihnya: 1795/4)

Sebagaimana itu juga Islam tidak pernah membezakan di antara lelaki dan wanita dalam kewajipan-kewajipan dan tuntutan syariat sepertimana Islam tidak pernah membezakan hak antara kedua-duanya.

Di antara hak-hak tersebut ialah hak untuk berpolitik yang diberikan kepada wanita. Antara perkara-perkara tersebut adalah:

1. Hak untuk memilih pemerintah dan memberikan kepercayaan kepadanya seperti yang digambarkan dalam feqh tradisional (turath) sebagai Bai'ah.

Allah s.w.t telah menyebut perihal baiah dengan lafaz yang umum yang merangkumi lelaki dan wanita dalam banyak tempat. Allah s.w.t berfirman:

.

{إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللهَ يَدُ اللهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا} -الفتح:10


Allah s.w.t berfirman juga:

{لَقَدْ رَضِيَ اللهُ عَنِ المُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا} [الفتح:18],


Sebagaimana itu juga Allah berfirman‏ khusus untuk wanita dalam urusan baiah:

{يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءَكَ المُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَى أَنْ لَا يُشْرِكْنَ بِاللهِ شَيْئًا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَادَهُنَّ وَلَا

يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللهَ إِنَّ اللهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ} [الممتحنة:12]

Maka Al-quran menetapkan hak kepada wanita untuk melakukan baiah kepada seorang pemerintah sebagaimana para lelaki tanpa membezakan antara kedua-duanya.

2. Penyertaan secara umum dalam isu-isu yang melibatkan secara khusus seluruh umat. Perkara tersebut asas untuk melaksanakan konsep syura.


Al-Quran telah menggalakkan supaya melakukan konsep syura antara pemerintah dan rakyat tanpa membezakan antara lelaki dan wanita. Allah s.w.t berfirman:

{وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ} [الشُّورى:38]


Allah s.w.t berfirman dalam seruanNya kepada Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi pemimpin umat Islam pada ketika itu:

{فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ} [آل عمران:159]‏.‏



Rasulullah sendiri meminta nasihat daripada isteri baginda Ummu salamah R.anha dalam peristiwa perjanjian Hudaibiyyah. Umar al-Kahttab meriwayatkan perkara tersebut dengan berkata:

"Setelah mana Rasulullah selesai daripada urusan menulis perjanjian maka Rasulullah s.a.w berkata kepada para sahabat baginda: "Bangunlah, sembelihlah dan bercukurlah!"

Beliau berkata lagi:

"Demi Allah, tidak ada seorang pun yang bangun setelah baginda menyuruh mereka sebanyak tiga kali. Setelah mana tidak bangun seorang pun daripada mereka maka Rasulullah s.a.w menemui Ummu Salamah dengan menceritakan apa yang berlaku kepada sahabat baginda."

Maka Ummu salamah berkata kepada baginda:

"Wahai Nabi Allah, adakah kamu menyukai perkara itu? Keluarlah dan jangan kamu berbicara dengan seorang pun dikalangan mereka lalu sembelihlah untamu serta panggillah tukang cukurmu dan bercukurlah"

Lalu baginda keluar tanpa berbicara dengan seorang pun dan menyembelih unta baginda dan memanggil tukang cukur baginda serta terus bercukur.

Setelah mana mereka melihat perbuatan nabi itu maka mereka semua bangun dan menyembelih unta mereka dan mereka saling bercukur antara satu sama lain."



(Riwayat Imam Al-Bukhari dalam sahihnya: 978/2)

Pada zaman moden kini para ulama belum mebincangkan persoalan wanita menjadi calon anggota parlimen . Pusat Fatwa Mesir telah mengeluarkan fatwa bernombor 852 pada tahun 1997 berkaitan keharusan wanita menjadi anggota wakil rakyat atau ahli parlimen yang dapat diringkaskan dengan bahawa:



"Tiada halangan di sisi syara' untuk wanita menjadi anggota majlis dewan rakyat atau parlimen sekiranya rakyat memberikan kepercayaan untuk dia menjadi wakil mereka dalam majlis tersebut. Hendaklah majlis tersebut dan bentuknya menepati ciri-ciri yang telah disebut oleh Allah selain beriltizam dengan hukum Allah dan syariatNya seperti mana yang disuruh Allah dan syariat Islam."

3. Menjawat jawatan penting dalam sektor-sektor kerajaan dan negara

Banyak athar yang menyebutkan berkaitan jawatan wanita dalam penguatkuasa kerajaan ataupun polis yang mana dikenali dalam tradisi fiqh Islam dengan jawatankuasa hisbah. Perkara tersebut berlaku pada zaman permulaan pemerintahan Islam. Berdasarkan athar-athar tersebut sebahagian ulama mengharuskan wanita menjawat jawatan sebagai kepimpinan yang penting dalam negara Islam. Mereka berdalilkan dengan apa yang telah thabit berkenaan Samra' Binti Nuhaik Al-Asadiyyah (seorang sahabiyah) yang bertindak mengawal keadaan kawasan-kawasan perdagangan dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Selain itu beliau menggunakan cemeti untuk melarang rakyat melakukan kemungkaran.

Riwayat tentang Samra' ini dinyatakan oleh Abu Balj Yahya Bin Sulaim di mana beliau berkata:

"Aku melihat samra' binti Nuhaik –beliau merupakan orang yang sempat bersama Rasulullah-memakai baju besi dan jilbab yang kasar dan memegang cemeti menyeru manusia melakukan makruf dan mencegah mungkar."

(Riwayat Imam At-Tobrani dalam Mu'jam Al-Kabir: ‏311/24 )

Imam Abu Hanifah dan lain-lain berpendapat bahawa harus wanita menjadi qadhi. Berkata Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani bahawa jumhur ulama berpendapat bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin dan qadhi. Perkara tersebut diharuskan oleh Imam At-Thobari. Ianya adalah riwayat daripada Imam Malik dan Imam Abu Hanifah bahawa wanita harus menjadi qadhi dalam masalah yang dibolehkan wanita menjadi saksi.(lihat Fathul Baari Fi Syarh Sohih Al-Bukhari: ‏128/8)

Daripada apa yang telah disebutkan tadi, nyatalah kepada kita bahawa wanita dibenarkan menjawat jawatan yang penting dalam kerajaan dalam realiti yang berlaku pada umat Islam dan disebut dalam rujukan fekah turath . Adapun pada zaman kita ini, telah ada penyertaan wanita bersama lelaki dalam negara-negara umat Islam dan Arab dalam pelbagai jawatan-jawatan awam dan pegawai kerajaan dan dalam bidang politik dan keilmuan. Wanita kini menjadi duta, menteri, pensyarah universiti sejak berpuluh-puluh tahun dahulu lagi. Wanita juga telah menyamai lelaki dari sudut kemasukan gaji dan pangkat untuk jawatan-jawatan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails