“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah. Yang telah mengajar (manusia) dengankalam. Dia yang mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Al-‘Alaq : 1-5)
Perintah pertama yang Allah turunkan kepada nabi Muhammad ialah membaca. Membaca ialah sumber ilmu. Begitulah kepentingan ilmu kepada umat manusia. Mengapakah ilmu begitu penting? Ini kerana ilmu adalah alat dalam penerimaan ibadat. Syariat yang disampaikan oleh Allah adalah satu ilmu. Dan untuk melaksanakan syariat kita mestilah berilmu.
Sabda Rasulullah S.a.w: “ Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim dan muslimat”.
Ilmu di dalam bahasa arab bermaksud mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu perkara sebenar. Ilmu juga boleh didefinisikan sebagai petunjuk; makrifat; ilmu adalah ingatan, imaginasi, imej pandangan atau pendapat; dan ilmu juga adalah proses mengetahui , orang yang mengetahui dan apa yang diketahui; dan ilmu juga adalah sifat yang membolehkan seseorang itu mengetahui.
Firman Allah:
“(Petunjuk itu) sebagaimana kami telah mengutus seorang Rasul dari golonganmu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu, membersihkan kamu (dari sifat syirik dan lain-lain kelakuan jahat), mengajarkan kepadamu (isi) kitab (Al-Quranul Karim) dan hikmah, serta mengajarkan kepadamu hal-hal yang belum kamu ketahui” (Al-Baqarah: 151)
“(Petunjuk itu) sebagaimana kami telah mengutus seorang Rasul dari golonganmu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu, membersihkan kamu (dari sifat syirik dan lain-lain kelakuan jahat), mengajarkan kepadamu (isi) kitab (Al-Quranul Karim) dan hikmah, serta mengajarkan kepadamu hal-hal yang belum kamu ketahui” (Al-Baqarah: 151)
Bagaimanakah kita memperolehi ilmu? Sumber ilmu adalah akal, pancaindera dan ilham. Sumber-sumber ini hendaklah dijaga dengan baik agar kita dapat menggunakan manfaatnya semaksima yang mungkin bagi memperolehi ilmu yang berfaedah, berkat dan diredhai Allah. Janganlah pula sumber-sumber ini digunakan untuk mencari ilmu yang jahat, tidak berfaedah dan menyusahkan orang lain. Bertanya juga ialah anak kunci kepada ilmu.
Daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata : Rasulullah S.a.w bersabda: “ Ilmu itu seperti gudang, dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberi rahmat oleh Allah Ta’ala. Maka sesungguhnya dari pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertama orang yang bertanya. Kedua guru yang menjawab. Ketiga orang yang mendengar jawapan itu. Keempat orang yang cinta kepada mereka”.
Sesungguhnya orang yang berilmu mempunyai banyak kelebihan. Diantaranya ialah pahala yang berterusan. Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda : “Apabila mati seorang anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Pertama sedekah jariah. Kedua ilmu yang memberi mnfaat. Ketiga doa anak yang soleh yang mendoakan baginya”. (Hadith riwayat Muslim)
Allah juga berfirman:
“Allah memberikan hikmah (ilmu yang bermanfaat) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Siapa yang memperoleh hikmah itu, sesungguhnya telah memperolehi kebajikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang mengendahkan peringatan”. (Al-Baqarah : 269)
“Allah memberikan hikmah (ilmu yang bermanfaat) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Siapa yang memperoleh hikmah itu, sesungguhnya telah memperolehi kebajikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang mengendahkan peringatan”. (Al-Baqarah : 269)
Apabila kita memperolehi ilmu, kita hendaklah mengajarkannya pula kepada orang lain. Ini kerana mengajar itu sedekah yang paling baik.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, sesungguhnya Rasulullah S.a.w telah bersabda: “Sebaik-baik sedekah itu ialah seorang Muslim belajar sesuatu ilmu, kemudian dia mengajarkannya kepada muslim yang lain”. (Hadith riwayat Ibnu Majah)
Abdullah bin Mas’ud r.a berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Tidak ada hasad (iri) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang, yaitu terhadap orang yang Allah berikan harta, ia menghabiskannya dalam kebaikan dan terhadap orang yang Allah berikan ilmu, ia memutuskan dengan ilmu itu dan mengajarkannya kepada orang lain”. (Sahih Muslim)
Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu. Daripada Wasilah bin Asqoq r.a. berkata: bersabda Rasulullah S.a.w: “Barangsiapa mencari ilmu lalu ia mendapatkanya maka baginya dua pahala. Dan barangsiapa mencari ilmu tetapi tidak mendapatkannya maka baginya dapat satu pahala”. (Hadith riwayat Al-Darami)
Orang yang berilmu juga mempunyai banyak kelebihan dan kehebatan. Sabda Rasulullah S.a.w: “ Seseorang yang alim itu lebih kuat pengaruhnya atas syaitan daripada seribu abid (yang tidak alim)”. (Hadith riwayat At-Tarmizi, ibn Majah)
Orang yang alim juga hidupnya berkat. Dia sentiasa mencari pengetahuan dan mengajarkannya pula kepada orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah S.a.w:
“Orang yang paling baik itu ialah orang yang alim. Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manfaat kepada orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan maka ia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain)”.
Rasulullah S.a.w bersabda: “Sampaikanlah apa yang kamu dengar daripadaku walaupun sepotong ayat”. Segala ilmu berfaedah yang diperolehi hendaklah disampaikan kepada orang lain, agar kita sama-sama mendapat keberkatan dan rahmatnya.
Namun begitu, kita juga hendaklah berhati-hati ketika menyampaikan sesuatu ilmu. Kita dituntut menyampaikan ilmu yang berfaedah dan orang lain dapat memanfaatkan ilmu itu dengan sebaiknya. Janganlah pula kita menyampaikan ilmu yang boleh menghancurkan dan memusnahkan orang lain.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Aku telah ingat daripada Rasulullah S.a.w. dua jenis ilmu. Adapun yang pertama telah aku sebarkan kepada kamu semua (para Tabi’in. adapun yang satu lagi seandainya aku sampaikan kepada kamu nescaya akan dipotong leherku ini”Bagaimanakah kita hendak memelihara ilmu? Peliharalah ilmu dengan menulisnya. Ini kerana apabila kita menulis, kita dapat membacanya, dan orang lain juga memperoleh faedah daripada tulisan itu.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: seorang lelaki dari kalangan orang Ansar telah datang mengadukan hal kepada RAsulullah S.a.w. Dia berkata: wahai Rasulullah! Aku sesungguhnya telah mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya, tetapi aku tidak dapat menghafaznya. Maka apa yang perlu aku lakukan? Maka sabda Nabi S.a.w : “Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu”. Sambil mengisyaratkan hendaklah dia menulis apa yang dia dengarkan.
Lebih banyak kita menulis, lebih luas ilmu yang kita dapat. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : “Tidak ada dari keseluruhan sahabat Rasulullah S.a.w yang paling banyak meriwayatkan hadith lebih daripada aku, kecuali Abdullah bin Umar, maka dia lebih banyak daripada aku, kerana dia menulis dan aku tidak menulis”.
Daripada Anas Bin Malik, katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghadiri majlis ilmu pada Ramadan, Allah mencatat setiap langkahnya menyamai ibadat setahun dan dia bersamaku (Rasulullah) di bawah Arasy”. Sesungguhnya setiap kali kita menuntut ilmu, kita akan mendapat berkat. Kita digalakkan menuntut ilmu tanpa mengira usia. Biasakanlah diri kita menghadiri kuliah ilmu samada secara formal atau tidak formal.
Begitulah banyaknya kelebihan ilmu. Oleh itu kita dituntut untuk mencari ilmu sebagai keperluan di dunia dan menjamin kita di akhirat. Janganlah pula kita mencari ilmu yang boleh menyusahkan orang lain.
Perlu diingatkan, sebaik-baik adab mencari ilmu, kita hendaklah berguru. Guru tesebut mestilah alim dan mursyid. Janganlah kita mencari guru yang salah tafsiranya terhadap ilmu tersebut. Dan guru tersebut hendaklah berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Rasulullah bersabda:"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulNya".
Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin pernah ditanya tentang perkara tersebut. Beliau menjawab:"Tidak diragui lagi bahawa ilmu boleh diperolehi dengan mempelajarinya daripada para ulama dan daripada kitab. Ini kerana, kitab seorang ulama adalah ulama itu sendiri, dia berbicara kepadamu tentang isi kitab itu. Jika tidak dapat menuntut ilmu daripada ahli ilmu maka dia boleh mencari ilmu daripada kitab. Akan tetapi memperolehi ilmu melalui ulama lebih dekat (mudah) daripada memperolehi ilmu melalui kitab, ini kerana orang yang memperolehi ilmu melalui kitab akan banyak menemui kesulitan dan memerlukan kesungguhan yang besar, dan akan banyak perkara yang akan dia fahami secara samar sebagaimana terdapat di dalam kaedah syar’iyyah dan batasan yang ditetapkan oleh para ulama. Maka dia hendaklah mempunyai tempat rujukan di kalangan ahli ilmu semampu mungkin.
Renung-renungkanlah…
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.”
-Riwayat at-Tirmidzi- (sumber)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.”
-Riwayat at-Tirmidzi- (sumber)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA