“Pilihanraya tiada kaitan dengan persoalan di akhirat. Allah SWT tidak akan menyoal kita tentang siapakah yang kita pilih, siapakah yang kita undi kerana semua ini hanyalah perkara keduniaan semata-mata. Allah SWT hanya akan menyoal kita di akhirat tentang aqidah (dan amalan) kita. Apakah ini benar atau tidak? Allah akan soal tentang sembahyang kita, adakah ditunaikan atau tidak? Zakat kita, dikeluarkan atau tidak? Puasa kita, dilaksanakan atau tidak? Soal mengundi tidak akan ditanya di akhirat!”.
Kefahaman inilah yang mendorong saya untuk menulis artikel ringkas ini.
Pandangan sedemikian sebenarnya adalah sangat bahaya, kerana ia bercanggah dengan aqidah. Ini kerana, sebenarnya setiap perkara yang dilakukan oleh kita akan ditulis oleh para malaikat, dan kita akan disoal dan dipertanggung jawabkan di atas semua perbuatan kita. Tidak ada satu pun daripada perbuatan kita, melainkan pasti akan ditulis oleh para malaikat. Dan kita pasti akan melihatnya di akhirat, samada buruk atau baik. Firman Allah SWT:
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ {7} وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ {8}
Ertinya: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. Surah az-Zalzalah: 7-8.
Ayat suci di atas menunjukkan bahawa setiap perbuatan kita, pasti ada balasannya, sekalipun sebesar zarrah yang kecil. Hal pilihanraya yang melibatkan seluruh Negara, dari pimpinan atasan sehinggga rakyat bawahan dan memakan masa berhari-hari merupakan satu perkara yang besar, dan bukannya kecil. Firman Allah SWT:
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا {49}
Ertinya: “Dan bila diletakkanlah kitab (catatan amalan), kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya? Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis), dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”. Surah al-Kahfi: 49.
Dalam pilihanraya, kita akan lihat betapa bersungguhnya calon-calon dan para penyokong parti-parti yang bertanding berkempen. Mereka akan menyatakan hala tuju dan tujuan masing-masing. Semua yang mereka katakan dalam kempen tersebut pasti akan dicatat dan mereka akan dipersoalkan mengenainya di akhirat. Firman Allah SWT:
مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ {18}
Ertinya: “Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang sentiasa hadir (ada bersama)”. Surah Qaf: 18.
Kalaulah kita mengatakan bahawa urusan pilihanraya tidak akan disoal di akhirat, ini bererti kita menganggap bahawa malaikat tidak akan menulis segala perkataan dan perbuatan semasa berkempen, semenjak hari penamaan calon, atau sebelumnya lagi, sehinggalah hari pilihanraya. Maka ini jelas bertentangan dengan aqidah yang menunjukkan bahawa segala amalan kita akan dicatat oleh malaikat dan kita akan disoal mengenainya di akhirat. Allah SWT berfirman:
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً {36}
Ertinya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan disoal (diminta pertanggung jawabannya di akhirat)”. Surah al-Isra’: 36.
Dan apa yang lebih menyedihkan saya ialah, berbanding fahaman tadi, jawapan seorang makcik (Mak Nik) semasa hari penamaaan calon 24 Febuari lepas ketika ditanya: Mak Nik tak pergi ke tempat orang berhimpun ke? Dia menjawab: Tempat berhimpun apa? Si penanya: Tempat orang laungkan “Allahuakbar, Allahuakbar” (dia maksudkan tempat penamaan calon). Mak Nik menjawab: “kalau “Allahuakbar, Allahuakbar” Mak Nik tak sir (tak nak), tapi kalau “Hidup Pak Lah”, Mak Nik nak.
Lihatlah betapa dia (disebabkan kejahilannya, dan tanpa dia sedari) telah jauh lari daripada aqidah yang sebenar, sehingga dia telah tertukar antara Allah dan makhluk. Tidakkah semua yang hidup ini bergantung kepada Allah? Walau siapa dia sekalipun? Allah SWT sahaja yang layak disembah, dan Dia sahaja tempat pergantungan yang sebenar.
Kalaulah urusan pilihanraya juga akan dipersoalkan di akhirat, maka gunakanlah ia untuk kebaikan Islam. Kalaulah kita ingin berkempen, maka berkempenlah dengan bersungguh-sungguh untuk parti yang membawa kita kepada ajaran Allah, iaitu Islam. Firman Allah SWT:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ {33}
Ertinya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, dan dia mengerjakan amal soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)”? Surah Fussilat: 33.
Kalaulah urusan pilihanraya juga akan disoal di akhirat, maka janganlah sistem demokrasi ini digunakan untuk menafikan Islam, dan menafikan ajaran Allah dan RasulNya. (Sebagai contoh, pada tahun lepas, berpuluh-puluh ribu rakyat Turki mengadakan tunjuk persaaan meyatakan kebimbangan sistem sekular yang diamalkan akan ditukar kepada sistem Islam jika berlaku perubahan pucuk pimpinan) Gunakanlah untuk kemenangan Islam, dan janganlah digunakan untuk memilih calon daripada parti-parti yang akan menafikan hukum hakam Allah dalam sistem perundangan, pendidikan dan sebagainya. Renungkanlah firman Allah SWT yang berbunyi:
الَّذِينَ آمَنُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُواْ أَوْلِيَاء الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا {76{
Ertinya: “Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir (pula) berperang di jalan Thaghut. Kerana itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah”. Surah an-Nisa’: 76.
Dan bagi pejuang-pejuang Islam, yang sanggup berpenat lelah kerana Islam, maka sebenarnya Allah bersamamu, dan Dia sekali-kali tidak akan bersama musuhmu. Senyumlah kerana itu, kerana sinar yang cerah bergemerlapan berada di hadapanmu. Allah SWT berfirman:
وَلاَ تَهِنُواْ فِي ابْتِغَاء الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا {104}
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA